Penggunaan produk penjagaan kulit secara berlebihan kini menjadi antara punca utama kerosakan pelindung kulit muka rosak.
Trend kecantikan yang semakin dipengaruhi oleh produk viral, iklan agresif dan rutin kompleks menyebabkan ramai pengguna tersalah memilih produk sehingga kulit menjadi sensitif, menipis dan mulai mengalami iritasi.
Pakar Dermatologi, Dr.Fatin Amira Hazwani Mohamad Yusof berkata, kebanyakan pengguna kini membeli produk kerana trend tanpa memahami kandungan dan fungsi sebenar bahan aktif seperti retinol, alpha hydroxy acid (AHA), butylated hydroxyanisole (BHA), arbutin, kojic acid dan niacinamide.
“Bahan ini direka untuk mencerahkan atau merawat kulit melaui proses pengelupasan, namun penggunaan yang terlalu kerap menyebabkan kulit menjadi semakin nipis dan melemahkan lapisan pelindung kulit,” katanya.
Tambahnya, kesilapan paling biasa dilakukan apabila penggunaan pelbagai produk yang mempunyai fungsi yang sama.
Misalnya, memakai pencuci muka, toner dan pelembap yang semuanya mengandungi arbutin.
Walaupun bahan itu berfungsi untuk mencerahkan kulit, pemakaian secara bertindih meningkatkan risiko pengelupasan berlebihan.
Seterusnya, kulit menjadi kering, mengelupas dan mudah merah apabila terdedah kepada haba atau makanan pedas.
Selain itu, bahan aktif mempunyai tempoh sesuai penggunaan AHA/BHA, misalnya, hanya sesuai digunakan ketika kulit sedang mengalami jerawat atau lebihan minyak.
Namun, apabila jerawat sudah berkurangan, rutin perlu kembali kepada pembersih muka lembut bagi mengelakkan pengelupasan berlebihan.
Begitu juga retinol yang hanya boleh digunakan pada waktu malam kerana sifatnya yang fotosensitif dan boleh menyebabkan kulit terbakar apabila terdedah kepada matahari.
“Dalam banyak kes, individu yang mengalami kulit sensitif akibat kerosakan lapisan pelindung kulit menunjukkan tanda seperti mudah merah, pedih, gatal atau kulit kering dan mengelupas.” katanya.
Ada juga yang pernah menggunakan produk tidak berdaftar sehingga kulit menjadi terlalu nipis, muka lebih cerah berbanding tangan dan cepat bertukar merah apabila terkena haba atau minuman panas.
Rutin penjagaan kulit yang sihat ialah memahami jenis kulit sendiri sebelum memilih produk.
konsep menggunakan rutin ringkas dan fokus kepada keperluan sebenar kulit atau skinimalisme menjadi solusi lebih selamat dan efektif berbanding mengumpul pelbagai serum, esen dan toner.
Bermula dengan hanya tiga langkah asas iaitu pencuci muka lembut, pelembab dan pelindung matahari.
Kesilapan lain yang sering berlaku ialah membuang semua bahan aktif secara drastik selepas mendengar tentang skinimalisme.
“Skinimalisme bukan bermaksud ‘buang semua produk’, tetapi guna produk yang betul, pada masa yang betul dan dalam jumlah yang sesuai.” katanya.
Rutin kecantikan tidak boleh menghasilkan perubahan drastik dalam masa sehari. Kulit memerlukan masa dan konsistensi, sama seperti membentuk tabiat sihat lain.
“Ramai orang salah kerana mengharapkan hasil segera. Bila cuba satu produk, esok mahu nampak perubahan. Kulit bukan macam itu. Kalau mahu hasil yang baik, kena faham kulit sendiri, pilih produk yang tepat dan konsisten,” katanya.