Apa punca suami isteri tinggal serumah tetapi hubungan dingin?

Segelintir pasangan suami isteri hari ini dikesan berdepan dengan ancaman ‘hubungan dingin’ meskipun luaran mereka kelihatan bahagia, tinggal sebumbung dan berkongsi katil yang sama.

Menurut pakar perubatan, Dr. Samhan menerusi satu hantaran di laman sosial Threads baru-baru ini berkata, situasi itu berpunca daripada ketiadaan sesi berbual dari hati ke hati atau ‘deep talk’ yang sudah lama ditinggalkan oleh pasangan.

“Ramai pasangan masih tinggal serumah, tidur sekatil dan makan bersama. Tapi sudah lama tidak benar-benar berbual dari hati ke hati.

“Perbualan yang ada cuma berkisar tentang anak, bil, kerja atau urusan harian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa hubungan perkahwinan yang sihat memerlukan pengisian yang lebih mendalam melebihi sekadar komunikasi urusan domestik harian.

Saling berkongsi perasaan, kerisauan, impian serta perkara yang sedang berlaku dalam hati masing-masing merupakan elemen penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Kegagalan mempraktikkan perkara itu dalam tempoh yang lama boleh mencetuskan rasa tidak difahami oleh pasangan sendiri.

“Lama-kelamaan, jarak emosi mula terbina walaupun jarak fizikal mereka sangat dekat,” ujarnya lagi.

Lebih parah, fenomena ini sering mengaburi mata masyarakat sekeliling kerana pasangan terbabit tampak tiada masalah, namun hakikatnya jiwa mereka ‘kosong’.

“Sebab itu ada pasangan yang nampak bahagia di luar tetapi sebenarnya semakin asing antara satu sama lain,” tambah beliau.

Tegasnya, keretakan sebuah perkahwinan tidak semestinya berpunca daripada kekurangan kasih sayang semata-mata sebaliknya berkait rapat dengan sikap acuh tidak acuh terhadap emosi pasangan.

“Kadang-kadang hubungan tidak rosak kerana kurang cinta tetapi kerana terlalu lama berhenti mengenali apa yang sedang berlaku dalam hati pasangan sendiri,” katanya. –Muslimah