Obsesi terhadap kulit bersih, putih dan cerah semakin membimbangkan apabila semakin ramai sanggup mencuba pelbagai rawatan yang menjanjikan hasil segera tanpa berfikir risiko pada kemudian hari.
Malah, trend rawatan kecantikan menggunakan suntikan intravena atau IV drip semakin popular di media sosial dengan dakwaan hasil kulit cerah berseri dalam tempoh singkat.
Namun, sejauh manakah keberkesanan rawatan tersebut dan adakah adakah ia benar-benar selamat?
Pakar Dermatologi, Dr, Lim Ing Kien berkata, ramai wanita terpengaruh dengan tanggapan bahan yang dimasukan terus dalam salur darah akan berikan kesan yang lebih cepat berbanding pengambilan secara biasa.
“Jika benar sesuatu bahan yang dimasukkan terus ke dalam salur darah mampu memberikan kesan yang lebih cepat, adakah dakwaan itu benar-benar disokong oleh bukti saintifik atau sekadar mitos yang dipengaruhi pemasaran dan media sosial?” katanya ketika ditemui pada acara ReGlow yang melancarkan Skin Turnover Protocol di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sebenarnya, bahan yang dimasukkan terus ke dalam saluran darah tidak melalui proses penapisan semula jadi badan seperti yang berlaku apabila seseorang mengambil makanan atau suplemen secara biasa.
“Walaupun mereka tahu nama bahan yang digunakan, mereka mungkin tidak tahu dari mana ia datang, bagaimana ia diproses dan sama ada ia benar-benar selamat,” katanya.
Beliau berkata, atas faktor tersebut, banyak prosedur IV drip bagi tujuan kecantikan dianggap kontroversi dan dihadkan di beberapa negara kerana isu kawal selia serta keselamatan yang masih diperdebatkan.
Jangan mudah terpengaruh trend
Dr. Lim mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai setiap trend kecantikan yang tular di platform media sosial.
Katanya, populariti sesuatu rawatan tidak semestinya membuktikan ia berkesan atau selamat untuk semua orang.
“Ramai hanya melihat hasil yang dipaparkan di media sosial tanpa mengetahui risiko, kesan sampingan atau bukti saintifik di sebalik rawatan tersebut,” katanya.
Tiada jalan pintas
Mengulas lanjut, cara mendapatkan kulit yang sihat, Dr. Lim berkata ia tidak boleh dicapai melalui satu rawatan semata-mata.
Sebaliknya, kesihatan kulit dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk penggunaan pelindung matahari secara konsisten, penjagaan kulit yang sesuai, pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.
“Sehingga hari ini, tiada kajian yang benar-benar membuktikan seseorang menjadi lebih cerah hanya kerana mengambil IV drip tanpa mengubah faktor lain seperti penggunaan krim pelindung matahari, penjagaan kulit dan gaya hidup,” katanya.
Justeru, orang ramai disaran mendapatkan nasihat daripada pakar bertauliah sebelum mencuba sebarang rawatan kecantikan yang menjanjikan hasil segera.-Muslimah