Bukan hanya isteri, suami juga boleh disabit nusyuz

Tanggapan masyarakat isu nusyuz atau derhaka dalam institusi kekeluargaan hanya terpakai kepada golongan isteri ternyata salah dan tidak benar sama sekali.

Menerusi perkongsian di media sosial Peguam Syarie, Farhan Fadzil mendedahkan, perundangan Islam turut memperuntukkan pensabitan nusyuz terhadap golongan suami sekiranya mengabaikan tanggungjawab asas yang telah ditetapkan syarak.

Katanya, nusyuz bagi seorang suami berlaku apabila pasangan tersebut mula mengabaikan tanggungjawab hakiki terhadap isteri dan keluarga tanpa alasan yang munasabah.

“Kegagalan menyediakan nafkah zahir seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal serta nafkah batin tanpa sebarang sebab yang sah di sisi syarak merupakan antara tanda awal suami nusyuz. 

“Malah, tindakan zalim dan kasar seperti melakukan keganasan fizikal termasuk memukul, mendera, menarik rambut atau perbuatan kejam lain yang boleh mendatangkan kecederaan turut menyumbang kepada sabitan berkenaan,” katanya.

Suami yang mengabaikan pasangan seperti kurang berkomunikasi, tidak bermesra dan langsung tidak mempedulikan kebajikan isteri menjadi faktor yang tidak boleh dipandang remeh. 

Dalam kes perkahwinan poligami pula, kegagalan membahagikan giliran, nafkah atau keperluan lain secara adil kepada isteri-isteri juga dikategorikan di bawah perbuatan nusyuz.

Lebih membimbangkan, sifat nusyuz juga terserlah sekiranya seorang suami membawa keburukan kepada keluarga dengan melibatkan diri dalam aktiviti maksiat seperti perjudian, zina atau penyalahgunaan dadah dan arak. 

Selain itu, tindakan tidak bertanggungjawab mengeksploitasi privasi rumah tangga dengan sering mendedahkan keburukan atau rahsia isteri kepada pihak luar turut memenuhi kriteria kecurangan tersebut.

“Perbezaan ketara antara nusyuz isteri dan suami adalah isteri biasanya disabitkan nusyuz jika enggan taat kepada perintah suami yang sah seperti keluar rumah tanpa izin.

“Manakala, nusyuz suami pula melibatkan kegagalan menyeluruh memenuhi tanggungjawab wajibnya yang paling asas, termasuk memberi nafkah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai jalan penyelesaian, beliau menyarankan pasangan mengutamakan kaedah perbincangan, perantaraan orang yang dihormati atau merujuk kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu.

Bagaimanapun, sekiranya kemudaratan tersebut berterusan dan tiada jalan penyelesaian yang dicapai, undang-undang memberi hak kepada isteri untuk menuntut keadilan di mahkamah.

“Isteri boleh menuntut haknya di Mahkamah Syariah termasuklah mengemukakan tuntutan nafkah tertunggak atau memohon fasakh bagi pembubaran perkahwinan,” katanya.-Muslimah