Hujung minggu adalah waktu terbaik untuk memberi sedikit perhatian kepada diri sendiri, termasuklah menjaga kesihatan kulit.
Selepas melalui minggu yang sibuk, apa kata luangkan masa seketika untuk memanjakan wajah dengan rawatan semula jadi yang mudah dan menjimatkan.
Menariknya, anda tidak perlu berbelanja mahal atau keluar rumah kerana pelbagai bahan yang diperlukan mungkin sudah tersedia di dapur.
Selain membantu kulit kelihatan lebih segar dan berseri, ia juga boleh menjadi terapi santai yang menenangkan. Jom cuba!
Madu asli (1 sudu besar)
Madu terkenal dengan sifat anti bakteria, anti radang dan pelembap. Ia membantu mengatasi ruam kecil, merawat kulit yang merengsa dan mengekalkan kelembapan kulit.
Serbuk teh hijau atau hitam (1 uncang)
Teh kaya dengan antioksidan yang dapat melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas, mengecilkan liang pori serta membantu menghilangkan bintik hitam dan putih.
Cara membuat masker:
- Dalam mangkuk kecil, campurkan madu asli dengan serbuk teh sehingga menjadi pes yang rata.
- Pastikan kulit wajah anda berada dalam keadaan bersih sebelum memakai masker. Cuci muka dengan pencuci muka yang lembut dan lap sehingga kering.
- Sapu masker secara merata ke seluruh wajah, elakkan kawasan mata dan bibir.
- Urut perlahan-lahan dengan gerakan bulat selama 1-2 minit untuk meningkatkan peredaran darah di kawasan muka.
- Biarkan masker meresap ke dalam kulit selama 15-20 minit.
- Bilas muka dengan bersih dan sapu pelembap pada muka untuk mengekalkan kelembapan kulit muka.
Tips: Lakukan secara konsisten iaitu 2 hingga 3 kali seminggu untuk hasil yang lebih ketara. –Muslimah