Trauma semasa kanak-kanak beri kesan kepada hubungan

Ramai tidak sedar konflik, sikap baran atau perasaan runsing yang keterlaluan ketika dewasa sebenarnya berakar umbi daripada luka lama sewaktu kecil yang belum sembuh sepenuhnya.

Pakar Psikologi, Dr. Nazrul Azizi, menerusi platform media sosialnya mendedahkan konsep kecederaan emosi masa lampau sering dibawa sehingga menginjak usia dewasa.

Individu yang terlalu takut ditinggalkan atau sentiasa dilingkungi rasa sangsi yang melampau bukanlah sengaja mahu mencari pasal sebaliknya refleksi daripada bahagian dalam diri mereka yang masih tercari-cari rasa selamat yang pernah hilang suatu ketika dahulu.

“Kajian trauma dan attachment menunjukkan pengalaman awal kanak-kanak boleh mempengaruhi hubungan, emosi dan kesejahteraan seseorang sehingga dewasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kemarahan atau reaksi emosi yang ditunjukkan oleh individu dalam kehidupan seharian kadangkala tidak ada kena-mengena dengan situasi yang berlaku pada waktu tersebut.

Sebaliknya, itu adalah luahan daripada ‘kanak-kanak’ di dalam diri mereka yang sedang menangis, takut dan merasakan diri tidak cukup disayangi.

“Sebab itu penyembuhan sebenar bukan sekadar belajar menjadi kuat tetapi belajar memberi kasih sayang kepada luka yang selama ini kita sembunyikan. 

“Dalam psikologi, trauma awal kehidupan boleh membentuk cara seseorang mengurus emosi, kepercayaan dan hubungan apabila dewasa,” kongsinya.

Menyentuh mengenai konflik rumah tangga atau hubungan percintaan, beliau berkata, ramai pasangan yang kelihatan sedang bergaduh sesama sendiri namun hakikatnya mereka sedang ‘berperang’ dengan luka lama yang belum selesai.

Perkara-perkara kecil seperti mesej yang tidak dibalas atau penolakan kecil dalam perbualan boleh menjadi pencetus yang mengaktifkan semula rasa takut yang lama tersimpan di dalam jiwa. 

Tambahnya, perubahan sekecil pada nada suara pasangan juga mampu memberi kesan yang sama kepada emosi individu terbabit.

“Dalam psikologi, kadang-kadang reaksi yang besar bukan datang daripada situasi semasa tetapi daripada luka lama yang masih belum diproses,” katanya.

Berdasarkan kajian Attachment Theory, hubungan awal antara individu dengan penjaga mereka sewaktu kecil memainkan peranan yang sangat besar kerana ia menjadi ‘templat’ atau acuan bagaimana seseorang itu memahami erti cinta, membina kepercayaan dan merasakan keselamatan dalam sebuah hubungan apabila dewasa kelak.

Di akhir perkongsiannya, beliau menitipkan pesanan mendalam buat masyarakat agar tidak terlalu keras dengan diri sendiri sekiranya masih bergelut dengan emosi lampau.

“Tidak semua luka sembuh dengan masa. Ada luka yang perlukan ruang untuk didengar dan dipulihkan. Rehat dan memulihkan diri bukan tanda lemah. Memulihkan diri adalah pilihan untuk tidak lagi hidup dalam luka yang sama.

“Simpan jika perlu, kongsikan jika ada yang sedang berjuang dalam diam,” katanya.-Muslimah