Istilah move on mungkin mudah untuk diungkapkan namun hakikatnya ramai lelaki yang melangkah ke fasa perkahwinan tanpa benar-benar ‘membersihkan’ sisa kenangan lama.
Apabila nama bekas kekasih masih menjadi carian utama di media sosial dan kekal menjadi kata laluan peribadi, ini bukan lagi soal rindu biasa tetapi satu petanda hubungan toksik yang mula merayap masuk ke dalam institusi kekeluargaan.
Terbaru, tular luahan seorang pengguna Threads, penguin.7465577, yang berkongsi dilema hidupnya apabila suaminya masih belum mampu melupakan daripada bekas kekasih walaupun sudah enam tahun melayari bahtera perkahwinan.
Kisah bermula apabila wanita itu secara tidak sengaja memeriksa telefon bimbit suaminya.
Dia mendapat tahu suaminya kerap mencari maklumat peribadi dan perkembangan hidup bekas kekasihnya di media sosial.
Lebih menyedihkan, lelaki itu masih menyimpan kata laluan emel yang menggunakan nama bekas kekasihnya malah seluruh ahli keluarganya juga masih aktif mengikuti perkembangan wanita tersebut.
“Rasa tertipu. Sudah jaga sehabis baik, ini pula kekurangan yang dia beri,” katanya.
Situasi ini meletakkan isteri dalam keadaan yang sangat tertekan. Dia mengakui sering rasa rendah diri dan curiga seolah-olah perlu sentiasa bersaing dengan memori masa lalu suaminya yang masih segar.
Meskipun sudah pernah berbincang dan mendapatkan nasihat kaunselor perkahwinan, perubahan yang diharapkan hanya bersifat sementara.
Suami tetap kembali kepada tabiat lama iaitu mengekori kehidupan bekas kekasihnya secara digital.
Kisah ini membangkitkan persoalan tentang sejauh mana seseorang perlu melupakan masa lalu sebelum memulakan hidup baru.
Tambahnya, menurut kaunselor perkahwinan yang ditemuinya, tindakan terus-menerus memantau bekas kekasih boleh menjadi petanda kepada isu emosi yang belum selesai yang akhirnya akan memudaratkan pasangan semasa.
“Siapa yang tidak sedih kalau setiap hari hidup dalam bayangan bayangan perempuan yang dia pernah cinta sepenuhnya tetapi tidak dapat dimiliki,” katanya.-Muslimah