Kajian dedah wanita bersolek bukan demi lelaki, ini sebab sebenarnya

Pemakaian solekan sering dikaitkan dengan usaha wanita untuk menarik perhatian lelaki atau memenuhi standard kecantikan masyarakat. 

Namun, beberapa kajian mendapati ramai wanita sebenarnya bersolek kerana faktor keyakinan diri, ekspresi personaliti dan rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

Kajian bertajuk Behind the Makeup: The Effects of Cosmetics on Women’s Self-Objectification and Their Objectification by Others mendapati pemakaian kosmetik tidak banyak mengubah cara wanita melihat nilai diri mereka sendiri. 

Sebaliknya, ramai wanita menggunakan solekan sebagai cara untuk tampil lebih yakin dan menghargai diri sendiri.

Kajian itu menjelaskan wanita tetap melihat diri sebagai individu yang sama walaupun memakai solekan dan ini menunjukkan solekan bukan penentu nilai diri seseorang wanita.

Kajian turut mendapati masyarakat masih cenderung memberi stereotaip terhadap wanita yang memakai solekan.

Wanita yang memakai solekan lebih ketara sering dianggap lebih seksual, kurang intelektual dan terlalu mementingkan penampilan berbanding wanita yang tampil minimalis.

Keadaan itu menunjukkan walaupun wanita bersolek untuk kepuasan diri sendiri, masyarakat masih mudah membuat penilaian berdasarkan penampilan luaran.

Solekan jadi medium ekspresi diri

Selain faktor keyakinan diri, ramai wanita menganggap solekan sebagai medium ekspresi diri dan kreativiti.

Menurut perkongsian daripada New Zealand Beauty School, solekan membolehkan wanita menampilkan identiti, emosi dan gaya tersendiri melalui warna, teknik dan penampilan yang berbeza.

“Seperti pakaian, solekan juga boleh digunakan untuk menunjukkan siapa diri seseorang atau bagaimana perasaan mereka pada hari tersebut,” menurut perkongsian itu.

Malah, mencuba gaya solekan berbeza juga dianggap menyeronokkan dan kreatif kerana memberi ruang kepada wanita bereksperimen dengan warna, teknik dan gaya yang diminati.

Solekan bantu tingkat keyakinan diri

Kajian dijalankan Ipsos  bersama jenama kecantikan Sally Hansen pula mendapati 84 peratus wanita percaya kecantikan boleh menjadi sesuatu yang memperkasakan diri.

Bagi sesetengah wanita, rutin bersolek membantu mereka berasa lebih bersedia untuk berdepan hari seharian, sama seperti individu memakai pakaian terbaik ketika menghadiri temu duga atau majlis penting.

Solekan juga dikatakan meningkatkan keyakinan kerana penampilan luaran boleh mempengaruhi emosi dan keyakinan dalaman individu.

Dalam dunia yang serba sibuk, rutin memakai solekan turut dianggap sebagai sebahagian daripada penjagaan diri kerana ia memberi ruang untuk wanita meluangkan masa terhadap diri sendiri walaupun hanya beberapa minit sehari.

Tekanan standard kecantikan masih wujud

Walaupun ramai wanita menyifatkan solekan sebagai pilihan peribadi, pengaruh media sosial dan standard kecantikan moden masih memainkan peranan besar membentuk persepsi terhadap penampilan wanita.

Trend kecantikan yang semakin berkembang menyebabkan sesetengah wanita berasa perlu sentiasa tampil sempurna untuk diterima masyarakat.

Namun, pakar berpandangan setiap wanita mempunyai hak untuk menentukan cara mereka ingin tampil selagi tidak terlalu bergantung kepada validasi luaran atau tekanan sosial.

Hakikatnya, ada wanita yang memilih untuk tampil tanpa solekan dan ada juga yang gemar bersolek penuh. Kedua-duanya tidak menentukan nilai atau keperibadian seseorang wanita.-Muslimah