Seorang lelaki akhirnya menyedari besarnya pengorbanan seorang isteri selepas wanita yang selama ini dianggap ‘selekeh’ rebah akibat keletihan melampau mengurus rumah tangga sendirian.
Satu perkongsian yang tular di Threads mengundang sebak ramai apabila lelaki itu mengaku pernah memandang rendah isterinya sendiri hanya kerana wanita tersebut tidak lagi tampil cantik, wangi dan bergaya seperti dahulu.
Menurutnya, dia sering membandingkan isterinya dengan staf wanita di pejabat yang sentiasa tampil kemas dan bergaya sehingga terlupa bahawa isterinya setiap hari bergelut mengurus rumah serta membesarkan anak-anak.
“Pantang nampak rumah bersepah sikit, saya akan membebel. Pernah sekali saya beritahu isteri yang dia nampak seperti ‘bibik’ sebab tidak pandai melaram untuk suami,” kongsinya.
Tambah lelaki itu, isterinya hanya mendiamkan diri setiap kali dimarahi walaupun ketika itu wanita tersebut sedang menyusukan bayi sambil melipat kain dan menguruskan pelbagai kerja rumah seorang diri.
Namun, semuanya berubah apabila isterinya tiba-tiba pengsan di dapur ketika sedang menyediakan sarapan untuk keluarga.
Pemeriksaan doktor mendapati wanita itu mengalami extreme fatigue atau keletihan melampau selain kekurangan darah akibat tidak cukup rehat dan kerap mengabaikan waktu makan.
Sepanjang isterinya dirawat di hospital, lelaki tersebut terpaksa mengambil alih tanggungjawab mengurus rumah dan menjaga tiga orang anak kecil mereka.
Ketika itulah dia mula memahami realiti sebenar kehidupan seorang suri rumah yang selama ini dipandang mudah.
“Baru tiga hari urus rumah, rasa seperti nak gila. Anak tidak berhenti menangis, perlu siapkan susu dan rumah pula tidak pernah siap kemas.
“Sampailah suatu masa, saya terduduk menangis seorang diri sebab baru faham penat seorang isteri,” luahnya.
Lebih menyentuh hati apabila dia menemui buku nota perbelanjaan milik isterinya sewaktu mengemas bilik untuk membawa pakaian ke hospital.
Rupanya wanita itu sudah tiga tahun tidak membeli pakaian atau alat solek baharu demi mengutamakan keperluan suami dan anak-anak.
Semua wang perbelanjaan yang diberikan digunakan sepenuhnya untuk membeli barang dapur, makanan serta keperluan keluarga.
“Sampai dekat hospital, saya terus peluk kaki isteri saya sambil menangis minta maaf sebab pernah hina dia selekeh,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan pengorbanan golongan isteri dan ibu yang sering memendam penat demi keluarga.-Muslimah