Mencintai seseorang bermaksud bersedia menerima segala pakej yang datang bersamanya, termasuklah cabaran kesihatan mental.
Apabila pasangan didiagnosis dengan isu seperti kemurungan atau kegelisahan, peranan pasangan bukan lagi sekadar peneman di kala suka tetapi beralih menjadi sistem sokongan paling utama untuk meluahkan segala-galanya.
Menurut perkongsian Kaunselor, Asmatomar, menjadi sistem sokongan yang baik bukanlah bermaksud perlu menjadi pakar perubatan sebaliknya cukup dengan menjadi pendengar yang empati.
Mendengar tanpa menghukum
Katanya, langkah pertama yang paling mencabar namun berkesan adalah belajar menjadi pendengar yang tidak menghakimi.
Apabila emosi pasangan tidak stabil, kecenderungan kita selalunya adalah untuk memberi ceramah, membacakan hadis atau memetik kata-kata motivasi yang kadangkala terasa ‘berat’ buat mereka.
“Kadang-kadang, mereka cuma nak kita ada bersama-sama mereka. Cukup memadai jika hanya sekadar memberitahu pasangan kita sentiasa ada untuk mereka dan bertanya apa yang boleh dibantu.
“Tindakan ringkas itu sebenarnya sudah membawa makna yang sangat besar bagi mereka yang sedang bergelut,” katanya.
Elakkan positif toksik
Satu perkara yang sering dianggap membantu tetapi sebenarnya boleh memudaratkan adalah memaksa pasangan untuk sentiasa bersikap positif.
Ungkapan seperti ‘banyakkan bersyukur’ atau ‘jangan sedih-sedih’ mungkin kedengaran baik, namun secara tidak langsung ia boleh membuatkan pasangan merasa bersalah atas emosi yang mereka alami.
“Proses validasi perasaan itu sangat penting. Mengakui bahawa apa yang mereka lalui itu memang sukar dan tidak memandang remeh terhadap emosi tersebut adalah kunci utama,” jelasnya.
Kenali pencetus dan had diri
Sebagai orang yang paling rapat, kita sepatutnya menjadi individu yang paling peka terhadap pencetus yang boleh menyebabkan serangan panik atau serangan emosi secara tiba-tiba.
Sekiranya mula terlihat tanda-tanda awal, cuba alihkan perhatian mereka atau bawa mereka keluar dari situasi tersebut dengan lebih awal sebelum keadaan melarat.
Bagaimanapun, cinta semata-mata tidak cukup untuk menyembuhkan penyakit mental.
“Cinta saja tidak cukup untuk sembuhkan kemurungan atau kegelisahan pasangan.
“Tugas kita adalah memastikan mereka mendapatkan bantuan pakar, memastikan mereka mengambil ubat mengikut jadual dan memberi sokongan emosi yang berterusan.
“Selebihnya, biarlah pakar perubatan seperti kaunselor atau psikiatri yang menjalankan tugas mereka,” katanya.
Kesabaran adalah kunci
Mengakhiri perkongsiannya, beliau mengakui menyintai seseorang yang mempunyai isu kesihatan mental memerlukan tahap kesabaran yang luar biasa.
“Walaupun bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia juga tidak mustahil untuk dilalui.
“Kesabaran dalam melayan kekurangan pasangan adalah bukti cinta yang paling tulus.
“Bagi mereka yang sedang berjuang sebagai sistem sokongan, ingatlah bahawa anda adalah individu yang hebat,” ujarnya.-Muslimah