Jangan anggap biasa bila isteri diam

Dalam rumah tangga, komunikasi sering dianggap perkara biasa.

Namun, apabila seorang isteri yang dahulunya ceria dan banyak berbicara tiba-tiba menjadi lebih banyak diam, ia bukan sesuatu yang wajar dipandang ringan.

Diam bukan selalu bermaksud tenang. Kadang-kadang, ia adalah bahasa terakhir apabila kata-kata sudah terlalu lama tidak didengari.

Perubahan corak komunikasi dalam rumah tangga terutamanya apabila seorang pasangan menjadi semakin pasif sering dianggap biasa sedangkan daripada sudut psikologi keluarga, ia boleh menjadi isyarat awal kepada tekanan emosi yang tidak diluahkan.

Menurut kajian dalam bidang psikologi keluarga, komunikasi yang semakin pasif dalam hubungan suami isteri sering dikaitkan dengan peningkatan tekanan emosi, rasa terasing serta ketidakpuasan dalam hubungan.

Apabila emosi tidak lagi dapat diluahkan secara sihat, pasangan cenderung menarik diri sebagai bentuk perlindungan diri.

Dengan kata lain, diam bukan semestinya ketenangan tetapi kadang-kadang tanda seseorang sedang ‘penat secara emosi’.

Apa yang berlaku dalam hubungan bila komunikasi mula berkurang?

Kajian juga menunjukkan komunikasi yang lemah atau tidak berkesan dalam rumah tangga boleh membawa kepada:

-Rasa tidak difahami antara pasangan
-Peningkatan salah faham
-Jarak emosi walaupun tinggal serumah
-Konflik yang tidak selesai dengan baik

Apabila komunikasi emosi semakin pudar, hubungan tidak semestinya terus rosak tetapI mula kehilangan ‘rasa dekat’ yang sebelum ini mengikat dua hati.

Tingkah laku menarik diri (withdrawal) biasanya bukan berlaku tanpa sebab.

Ia sering berkait dengan emosi yang dipendam terlalu lama, rasa tidak didengari atau tidak difahami serta keletihan emosi akibat konflik berulang.

Dalam sesi terapi, perubahan ini biasanya menjadi titik permulaan untuk memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam hubungan, bukan sekadar melihat tingkah laku di permukaan.

Rumah tangga jarang runtuh dalam sehari. Ia biasanya bermula dengan perkara kecil yang tidak disedari seperti perbualan yang semakin kurang, respons yang semakin pendek dan akhirnya, diam yang semakin panjang.

Apabila komunikasi emosi terputus, jarak dalam hubungan mula terasa walaupun pasangan masih hidup bersama.

Perspektif Islam dalam menjaga komunikasi

Islam menekankan pentingnya kasih sayang dan komunikasi dalam rumah tangga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu tenang kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih dan sayang.” (Surah Ar-Rum: 21)

Ayat ini menggambarkan ketenangan rumah tangga dibina melalui mawaddah (kasih) dan rahmah (kasih sayang), yang antara manifestasinya ialah komunikasi yang baik dan saling memahami.

Bila diam perlu diberi perhatian

Pasangan tidak wajar hanya menganggap diam sebagai perkara kecil.

Sebaliknya, ia boleh menjadi ruang untuk:

-Menilai semula cara berkomunikasi
-Mendengar tanpa menghakimi
-Memberi ruang emosi yang lebih selamat untuk berbicara semula

Kesimpulannya, rumah tangga yang sihat bukan rumah tangga yang tidak pernah bergelut, tetapi rumah tangga yang masih mampu berkomunikasi walaupun dalam keadaan sukar.-Muslimah