Istilah narsistik semakin kerap dibincangkan dalam masyarakat kini kerana boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi pasangan.
Ramai masih sukar membezakan antara sikap ego biasa dan corak manipulasi emosi yang lebih serius, sekali gus menyebabkan individu kekal dalam hubungan tidak sihat.
Keadaan ini akhirnya memberi kesan kepada kesihatan mental dan kestabilan emosi pasangan, terutama apabila tiada kesedaran awal terhadap tanda-tanda hubungan toksik tersebut.
Penulis buku Panduan Memahami dan Menghadapi Pasangan Narsis, Dr. Hidayah Hashim berkata, personaliti narsistik dalam konteks rumah tangga merujuk kepada pasangan yang terlalu berpusat pada diri sendiri, sentiasa mahu dipuja, sukar menerima teguran dan kurang empati terhadap pasangan.
“Perkahwinan sepatutnya menjadi ruang untuk pasangan berkongsi perasaan. Tetapi bagi individu narsistik, pasangan dilihat sebagai orang yang perlu memenuhi keperluannya supaya dirinya sentiasa kelihatan hebat dan sentiasa betul,” katanya kepada Muslimah.
Dalam Islam, perkahwinan dibina atas asas sakinah, mawaddah wa rahmah. Namun kecenderungan untuk mendominasi, mengawal dan merendahkan pasangan jelas bercanggah dengan perkahwinan yang dianjurkan.
Misalnya, suami yang terlalu menuntut penghargaan daripada isteri, mahu sentiasa difahami, dipuji dan diraikan, tetapi pada masa sama tidak memberikan ruang kepada emosi dan penat lelah isteri.
“Suami narsistik juga sangat sensitif terhadap teguran. Soalan kecil seperti ‘kenapa abang balik lewat?’ boleh dianggap mencabar egonya sehingga perbualan biasa bertukar menjadi konflik besar,” katanya.
Keadaan ini akhirnya menyebabkan isteri takut untuk bersuara.
Satu lagi tanda penting ialah perbezaan sikap di luar dan di dalam rumah. Di luar, suami mungkin kelihatan baik, peramah dan disanjung orang ramai.
Namun di rumah, perwatakannya kasar, suka menghina, memperkecilkan dan menjatuhkan maruah isteri, sekali gus menyebabkan orang luar sukar mempercayai cerita isteri.
Tidak semua suami yang keras kepala atau ego boleh dilabel sebagai narsistik. Individu yang mempunyai ego biasa masih mampu meminta maaf dan bermuhasabah.
Sebaliknya, individu narsistik jarang mengakui kesalahan dan cenderung menyalahkan orang lain untuk mengekalkan kuasa dalam hubungan.
“Antara bentuk manipulasi yang sering berlaku ialah gaslighting, iaitu suami memutarbelitkan fakta sehingga isteri mula meragui ingatan dan penilaiannya sendiri,” katanya.
Selain itu, mereka juga melakukan silent treatment, iaitu sengaja mendiamkan diri dalam tempoh lama untuk menghukum isteri secara emosi sehingga isteri terpaksa mengalah walaupun bukan isteri yang bersalah.
Menurut Dr Hidayah, kesan jangka panjang terhadap emosi termasuk kemerosotan keyakinan diri, rasa bersalah kronik, kebimbangan melampau, kemurungan, gangguan tidur dan keletihan emosi berpanjangan.
Lebih membimbangkan, ramai isteri akhirnya percaya mereka punca segala masalah sehingga identiti diri terhakis sedikit demi sedikit.
Langkah pertama yang perlu diambil ialah kesedaran perkara berlaku bukan sekadar konflik biasa.
“Isteri perlu memperkasa diri dengan ilmu dan membina sistem sokongan yang sihat melalui kaunselor, pakar psikologi atau individu matang yang dipercayai,” katanya.
Jika keadaan masih boleh diperbaiki, kaunseling perkahwinan boleh diusahakan. Namun jika mudarat semakin besar, Islam sendiri tidak membenarkan penderaan berterusan dalam perkahwinan.
“Perubahan hanya boleh berlaku jika individu narsistik sendiri mengakui dirinya bermasalah dan bersedia mendapatkan bantuan profesional,” katanya.-Muslimah