Punca lingkaran gelap bawah mata bukan sekadar tidak cukup tidur 

Lingkaran gelap di bawah mata sering dikaitkan dengan kurang tidur. 

Hakikatnya, ramai wanita tetap berdepan keadaan ini walaupun sudah mendapatkan rehat yang mencukupi.

Fenomena yang dikenali sebagai ‘mata panda’ ini sebenarnya melibatkan pelbagai faktor fisiologi dan persekitaran, bukan sekadar rutin tidur yang tidak teratur. 

Perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan perubahan pada struktur kulit, faktor genetik serta keadaan kesihatan tertentu turut memainkan peranan penting.

Berikut merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah lingkaran gelap bawah mata.

Kulit bawah mata semakin menipis

Kawasan bawah mata mempunyai lapisan kulit yang sangat nipis dan sensitif. Seiring peningkatan usia, penghasilan kolagen serta lapisan lemak akan berkurangan.

Keadaan ini menyebabkan saluran darah di bawah kulit menjadi lebih ketara, sekali gus menimbulkan bayangan kebiruan atau keunguan yang sering disalah anggap sebagai kesan kurang tidur.

Resdung dan masalah sinus sebagai penyumbang

Masalah resdung atau hidung tersumbat turut memberi kesan kepada penampilan kawasan mata.

Apabila sinus mengalami keradangan, saluran darah di sekitar mata dan hidung akan mengembang. Ini menjadikan kawasan bawah mata kelihatan lebih gelap. 

Tabiat menggosok mata akibat kegatalan pula boleh memburukkan keadaan dengan meningkatkan iritasi dan pigmentasi.

Faktor genetik tidak boleh diketepikan

Dalam sesetengah kes, lingkaran gelap bawah mata dipengaruhi oleh faktor keturunan.

Keadaan yang dikenali sebagai periorbital hyperpigmentation ini menyebabkan pigmentasi di sekitar mata menjadi lebih gelap secara semula jadi, walaupun individu mengamalkan gaya hidup sihat.

Posisi tidur beri kesan tidak langsung

Cara tidur juga mempengaruhi keadaan bawah mata.

Posisi tidur meniarap atau penggunaan bantal yang terlalu rendah boleh menyebabkan pengumpulan cecair di kawasan tersebut. 

Kesannya, mata kelihatan sembap dan lebih gelap apabila bangun tidur.

Langkah mengurangkan ‘mata panda’

Walaupun sukar dihapuskan sepenuhnya, beberapa langkah boleh membantu mengurangkan kesan lingkaran gelap:

– Tuam sejuk
Menggunakan sudu sejuk atau uncang teh dapat membantu mengecutkan saluran darah dan mengurangkan bengkak.

– Tinggikan posisi kepala ketika tidur
Penggunaan bantal yang sesuai membantu mengelakkan pengumpulan cecair di bawah mata.

– Rawat masalah resdung
Dapatkan rawatan sewajarnya seperti antihistamin dengan nasihat doktor dan elakkan menggosok mata.

– Gunakan pelembap dan pelindung matahari
Penjagaan kulit yang konsisten membantu mengurangkan pigmentasi serta menguatkan lapisan kulit.