Suami semakin kurang romantis selepas berkahwin sering menjadi keluhan dalam kalangan isteri.
Dahulunya penuh dengan kata-kata manis, kejutan kecil dan perhatian, kini seolah-olah bertukar menjadi rutin harian yang hambar.
Namun persoalannya, adakah perubahan ini sesuatu yang normal dalam perkahwinan atau petanda kepada masalah yang lebih besar?
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Suzana Mohd Hoesni, persepsi ‘tidak lagi romantis’ sering berpunca daripada jangkaan yang tidak selari dengan realiti kehidupan berumahtangga.
“Lebih-lebih lagi dalam era digital hari ini, ramai wanita terdedah kepada gambaran cinta yang tidak realistik melalui drama, filem dan media sosial,” katanya kepada Muslimah.
Kebanyakan karya romantik memaparkan pasangan yang sentiasa meluahkan kasih sayang secara dramatik, manakala konflik pula diselesaikan dengan mudah.
Hakikatnya, kehidupan selepas berkahwin jauh berbeza kerana Ia bukan lagi sekadar tentang emosi, tetapi melibatkan tanggungjawab, komitmen dan pengorbanan.
“Dalam psikologi, cinta bukan statik. Ia melalui beberapa fasa. Pada peringkat awal, pasangan biasanya mengalami passionate love iaitu cinta yang penuh keghairahan dan tarikan kuat, namun fasa ini tidak kekal lama,” katanya.
Menurutnya, hubungan kemudian berkembang kepada companionate love iaitu cinta yang lebih matang, stabil dan berasaskan kepercayaan serta persahabatan.
“Apabila masuk fasa ini, cara luahan cinta berubah, Ia mungkin tidak lagi dramatik, tetapi melalui tindakan harian yang menunjukkan tanggungjawab dan keprihatinan,” katanya.
Romantik bukan sekadar hadiah
Ramai yang mengaitkan romantik dengan bunga, hadiah atau makan malam istimewa. Namun, definisi romantik berbeza bagi setiap individu.
Ada pasangan yang sudah cukup bahagia apabila suami mengingati makanan kegemaran, membantu kerja rumah atau meluangkan masa bersama keluarga.
“Bagi sesetengah orang, perkara kecil seperti itu sudah cukup romantik. Tetapi jika kita terdedah kepada standard yang terlalu tinggi, kita akan rasa ia tidak mencukupi,” katanya.
Perbezaan cara meluahkan kasih sayang inilah yang sering menyebabkan isteri rasa kurang dicintai, walaupun pasangan masih menunjukkan kasih sayang dengan cara tersendiri.
Pengaruh media dan perbandingan
Selain itu, kecenderungan membandingkan pasangan dengan perkara dilihat di media sosial turut menyumbang kepada perasaan tersebut.
Fenomena ini dikenali sebagai parasocial relationship, iaitu hubungan emosi dengan individu yang tidak dikenali seperti selebriti atau watak fiksyen.
“Apabila seseorang terlalu mengagungkan gambaran ideal ini, mereka mungkin meletakkan jangkaan yang tidak realistik terhadap pasangan sendiri,” katanya.
Lebih membimbangkan, media sosial sering memaparkan kehidupan rumah tangga yang kelihatan sempurna, sedangkan realitinya tidak semestinya begitu.
Komunikasi kunci utama
Bagi mengatasi isu ini, suami isteri perlu ada komunikasi yang baik.
Isteri disarankan untuk meluahkan perasaan secara jujur dengan pendekatan yang sesuai, selain memilih waktu yang tepat agar mesej dapat diterima dengan baik.
“Kita tidak boleh terus membandingkan dengan orang lain. Sebaliknya, nyatakan apa yang kita hargai dan inginkan dengan cara yang lembut,” katanya.
Hakikatnya, cinta selepas berkahwin memerlukan usaha yang berterusan.
Jika sebelum ini pasangan berusaha memenangi hati masing-masing, selepas berkahwin usaha itu perlu diteruskan dalam bentuk yang lebih konsisten melalui sokongan emosi, kerjasama dan pengorbanan. –Muslimah