Pergaulan tanpa batas di tempat kerja buka ruang perselingkuhan

Dalam dunia yang semakin berkembang maju, pergaulan antara lelaki dan wanita menjadi sesuatu yang sukar dielakkan, terutamanya dalam aspek kerjaya. 

Mesyuarat, perbincangan, komunikasi di luar waktu pejabat semuanya seakan sudah menjadi rutin harian.

Namun di sebalik kebiasaan itu, Muslimah perlu faham Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam menjaga batas pergaulan. 

Dalam Islam, interaksi antara lelaki dan wanita bukan mahram dikenali sebagai ikhtilat.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah, Pengajian Islam, Dr. Nurbazla Binti Ismail berkata, secara asasnya hukum pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah dilarang.

Namun, Islam memberikan kelonggaran dalam situasi tertentu seperti keperluan dan darurat, khususnya dalam konteks pekerjaan,” katanya kepada Muslimah.

Dalam konteks pekerjaan, pergaulan dibenarkan atas dasar keperluan, tetapi mesti beserta adab. 

Antaranya tidak berdua-duaan di tempat sunyi, menjaga aurat, mengelakkan sentuhan, menundukkan pandangan serta mengawal percakapan daripada unsur gurauan berlebihan atau panggilan manja.

“Apabila garis panduan syariah diabaikan, ia membuka ruang kepada hubungan yang tidak sepatutnya.

“Interaksi harian yang terlalu kerap seperti berkongsi makanan atau rutin bersama boleh menimbulkan keakraban luar batas,” katanya.

Lebih membimbangkan, kecurangan emosi sering menjadi permulaan tanpa disedari. Perasaan dihargai, difahami dan selesa berinteraksi dengan rakan sekerja berlainan jantina boleh bertukar menjadi hubungan yang tidak sihat.

“Apabila seseorang mula berkongsi masalah peribadi, ia boleh menimbulkan simpati yang akhirnya berkembang menjadi perasaan lain,” katanya.

Justeru, Muslimah perlu sentiasa berwaspada dan menjaga niat dalam setiap interaksi. 

Niat semata-mata untuk urusan kerja mampu menjadi benteng awal daripada terjerumus ke dalam perkara yang tidak diingini.

Selain itu, batas komunikasi juga perlu dijaga. 

Elakkan perbualan yang terlalu peribadi, kawal nada suara dan jauhi gurauan yang boleh menimbulkan salah faham. 

Jaga jarak fizikal termasuk mengelakkan sebarang bentuk sentuhan.

“Muslimah juga digalakkan menundukkan pandangan dan menjaga aurat dengan sempurna kerana perkara kecil boleh membuka ruang fitnah.

“Wangian tidak seharusnya terlalu kuat hingga menarik perhatian lelaki, manakala solekan dibolehkan tetapi tidak berlebihan,” katanya.

Sebagai wanita, fitrah untuk menghargai layanan baik dan kata-kata manis tidak boleh dielakkan.

Namun, di situlah pentingnya menjaga batas, agar tidak hanyut dengan perasaan yang akhirnya membawa kepada penyesalan.-Muslimah