Pernah rasa pedih, panas atau tidak selesa sebaik menyapu krim pelindung matahari (sunscreen)? Ramai terus menyalahkan produk dan akhirnya serik untuk memakainya.
Masalah ini selalunya berpunca daripada pemilihan jenis krim pelindung matahari yang tidak sesuai dengan keadaan kulit.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, krim tersebut terbahagi kepada dua jenis utama iaitu kimia dan fizikal, dengan cara tindak balas yang berbeza pada kulit.
“Apabila tersalah pilih, kulit boleh memberi reaksi seperti pedih, panas dan kemerahan,” katanya kepada Muslimah.
Krim pelindung matahari kimia bertindak dengan menyerap sinaran ultraungu (UV) dan menukarkannya kepada bentuk tenaga yang tidak memudaratkan.
Lazimnya mengandungi bahan aktif seperti oxybenzone, avobenzone, octinoxate dan homosalate.
“Teksturnya lebih ringan, mudah diratakan dan tidak meninggalkan kesan putih, sebab itu ia lebih sering dipakai sebelum mengenakan solekan,” katanya.
Namun, kerana perlu meresap ke dalam kulit untuk berfungsi, ia berpotensi mencetuskan rasa pedih atau iritasi terutama bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, berjerawat atau kulit yang sedang dalam fasa pemulihan selepas rawatan.
“Bahan dalam krim pelindung matahari ini perlu diserap ke dalam kulit untuk berfungsi.
“Bagi kulit yang sensitif atau sedang terganggu, proses ini boleh mencetuskan rasa tidak selesa seperti pedih dan kemerahan,” katanya.
Berbeza dengan krim pelindung matahari fizikal yang menggunakan bahan seperti zinc oxide dan titanium dioxide, ia bertindak memantulkan sinaran UV di permukaan kulit tanpa perlu diserap ke dalam kulit.
“Ia terus berfungsi sebaik sahaja disapu dan risikonya lebih rendah untuk menyebabkan iritasi,” katanya.
Jenis ini lebih sesuai untuk kulit sensitif, kulit berjerawat atau kulit yang baru menjalani prosedur estetik.
Menurut Dr. Hamidah, kedua-dua jenis sunscreen sebenarnya selamat untuk penggunaan jangka panjang.
Cara pemakaian
Selain pemilihan jenis krim pelindung, cara pemakaian yang tidak tepat juga boleh menyebabkan kulit terasa pedih dan tidak selesa.
Ramai hanya menggunakannya ketika cuaca panas, sedangkan sinaran UV tetap wujud walaupun cuaca mendung atau berada di dalam bangunan yang terdedah kepada cahaya matahari.
“Ramai juga terlupa untuk menyapu semula krim pelindung setiap dua hingga tiga jam. Perlindungan akan berkurang selepas beberapa waktu, lebih-lebih lagi jika kulit berpeluh atau terdedah lama di luar,” katanya.
Ada juga yang menggunakan kuantiti terlalu sedikit atau bergantung sepenuhnya kepada SPF dalam solekan dan pelembap.
“Kawasan seperti leher, tepi rambut dan telinga juga sering diabaikan walaupun bahagian ini turut terdedah kepada sinaran matahari,” katanya.
Bagi individu yang mudah berpeluh atau aktif di luar, pemilihan pelindung matahari jenis kalis air dapat membantu memastikan perlindungan kekal lebih lama.
Tanpa perlindungan, sinaran UV boleh merosakkan kolagen, mempercepatkan penuaan dan menyebabkan pigmentasi pada kulit.
Krim pelindung matahari sepatutnya menjadi langkah pertama sebelum penggunaan produk penjagaan kulit lain.
“SPF yang disarankan ialah sekurang-kurangnya SPF 50 dengan label spektrum luas (broad spectrum) bagi melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB.
“Di negara beriklim panas seperti Malaysia, kulit terdedah kepada sinaran UV hampir setiap hari walaupun ketika cuaca mendung,” katanya.
habis//