Overthinking jadi racun dalam hubungan

Ujian dalam perkahwinan bukan hanya pihak ketiga mahupun masalah kewangan tetapi sikap berfikir secara berlebihan (overthinking).

Bagi sesetengah individu, minda mereka tidak pernah tidur. Setiap patah perkataan pasangan dibedah siasat, setiap kelewatan pulang ke rumah menjadi skrip drama dan setiap perubahan nada suara dianggap sebagai isyarat berakhirnya kasih sayang.

Kaunselor Berdaftar, Nur Aisyah Mushadad berkata, masyarakat perlu belajar membezakan antara sikap berhati-hati yang sihat dengan overthinking yang berpunca daripada trauma atau ‘luka lama’.

Menurutnya, sikap berhati-hati yang normal biasanya berpaksi kepada logik dan situasi semasa demi keselamatan keluarga.

Namun, overthinking berasaskan trauma sering kali tidak berpijak di bumi nyata.

“Perilaku ini dipacu oleh rasa takut yang melampau (fear-based). Jika seseorang pernah dikhianati atau diabaikan pada masa lalu, mindanya akan sentiasa berada dalam mod bertahan hidup.

“Mereka bukan melihat apa yang sedang berlaku hari ini, sebaliknya sedang menunggu bila ‘bom’ akan meletup seperti pengalaman lalu,” katanya kepada Muslimah.

Tambahnya, masalah overthinking biasanya berpunca daripada cara individu memandang dan mentafsir maklumat yang diterima.

“Perilaku ini bukan berpunca daripada tindakan pasangan yang tidak konsisten semata-mata.

“Cara individu menerima dan memandang sesuatu keadaan juga mempengaruhi cara mereka berfikir,” katanya.

Selain itu, perilaku itu juga berpotensi menghakis tembok kepercayaan pasangan sekali gus membunuh keintiman emosi.

“Lama-kelamaan, pasangan yang overthinking akan berasa letih dengan konflik dalaman mereka sendiri (burnout) manakala pasangan pula tawar hati kerana setiap kejujuran sentiasa dipersoalkan,” katanya.

Justeru, komunikasi dua hala sangat penting bagi memastikan kepercayaan dalam hubungan sentiasa dapat dijaga sekali gus mengelakkan tabiat overthinking.

“Mereka yang cenderung untuk overthinking selalu berfikir tentang situasi yang belum berlaku sehingga menyebabkan mereka mencipta situasi mengikut emosi pada ketika itu.

“Oleh itu, pasangan perlu sentiasa memberikan jaminan dan penjelasan kukuh sebelum melakukan sesuatu supaya tabiat ini dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu, Individu perlu mula mendapatkan nasihat atau pertolongan pakar kaunseling sejurus selepas berasa terdapat perubahan yang berbeza dengan diri sendiri.

“Setiap individu mempunyai coping mechanism yang berbeza seperti membaca buku, melayari internet atau bersukan.

“Jika individu sudah melakukan semua perkara yang disukai tetapi tetap rasa tidak tenang, mereka harus mula berjumpa dengan pihak profesional untuk mendapatkan nasihat,” katanya. –Muslimah