Dalam dunia kecantikan yang semakin berkembang, ramai Muslimah hari ini lebih terbuka mencuba pelbagai trend kecantikan untuk meningkatkan keyakinan diri.
Namun, dalam keghairahan mengejar standard kecantikan semasa, ada batas yang perlu dijaga agar tidak tersasar daripada landasan syariat.
Dalam satu perkongsian di media sosial, pendakwah bebas, Aisyah Adnan berkata Islam tidak pernah melarang muslimah untuk berhias tetapi menetapkan garis panduan agar tidak berlebihan atau menarik perhatian secara tidak wajar.
“Cantik itu tidak salah, tetapi cara kita menzahirkan kecantikan itu perlu selari dengan syariat,” katanya.
Berikut merupakan antara amalan kecantikan yang perlu diberi perhatian oleh Muslimah agar tidak melampaui batas yang ditetapkan.
Pemakaian solekan dan konsep tabarruj
Solekan dibenarkan dalam Islam, namun ia perlu dilakukan secara sederhana dan tidak berlebihan.
Konsep tabarruj merujuk kepada perbuatan berhias secara keterlaluan sehingga menarik perhatian bukan mahram.
Sebagai contoh, pemakaian gincu adalah dibolehkan, tetapi warna yang terlalu terang seperti merah menyala, ungu atau biru yang jelas mencuri perhatian boleh termasuk dalam kategori yang tidak digalakkan.
“Prinsipnya, solekan seharusnya memperelok , bukan menonjol secara berlebihan,” katanya.
Pemakaian tudung dan pendedahan aurat
Dalam berhias, aspek aurat tidak boleh dipersoalkan, pemakaian tudung yang menampakkan telinga semata-mata untuk memperlihatkan subang adalah tidak dibenarkan kerana telinga dan leher masih termasuk dalam aurat wanita.
“Bahagian yang dibenarkan untuk dizahirkan hanyalah wajah, manakala selebihnya perlu ditutup dengan sempurna tanpa mengikut trend yang mengabaikan tuntutan tersebut,” katanya.
Pemakaian minyak wangi
Pemakaian minyak wangi dibolehkan dengan tujuan menjaga kebersihan diri dan mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.
Namun, jika wangian dipakai secara berlebihan sehingga baunya boleh dihidu dari jauh dan menarik perhatian orang lain, ia boleh menjadi haram. Dalam hal ini, kesederhanaan menjadi kunci utama.
Sanggul yang tinggi
Trend sanggul tinggi atau menyerupai ‘bonggol unta’ perlu diberi perhatian. Jika bentuk tersebut dihasilkan menggunakan sanggul palsu atau tambahan, ia tidak dibenarkan.
“Namun, jika rambut sememangnya panjang dan diikat secara biasa tanpa tujuan berlebihan, ia masih dibolehkan selagi tidak menimbulkan bentuk yang keterlaluan,” katanya.
Tanam atau memakai bulu mata palsu
Menanam atau memakai bulu mata palsu dilarang kerana mempunyai unsur penipuan serta boleh menjejaskan kesahihan wuduk.
Selain itu, ia juga termasuk mengubah ciptaan asal yang tidak dibenarkan tanpa keperluan.
Pemakaian kanta lengkap dan niat pemakaian
Pemakaian kanta lekap dibenarkan sekiranya bertujuan membantu penglihatan seperti menggantikan cermin mata. Dalam situasi ini, pemilihan warna juga perlu bersifat natural dan tidak ketara.
Namun, jika kanta lekap dipakai semata-mata untuk kecantikan dengan warna yang mencolok seperti biru atau hijau sehingga menarik perhatian, ia tidak diharuskan.
“Niat memainkan peranan penting dalam menentukan hukum sesuatu amalan,” katanya.
Kikil gigi dan pemakaian pendakap gigi
Rawatan gigi seperti kikil gigi atau pemakaian pendakap gigi dibenarkan sekiranya bertujuan untuk keperluan, contohnya memperbetulkan struktur gigi yang menjejaskan fungsi atau keyakinan diri.
Namun, jika dilakukan semata-mata untuk tujuan kosmetik tanpa keperluan, ia boleh dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah dan tidak dibenarkan.
Menindik
Amalan menindik, khususnya tindik hidung tidak dibenarkan kerana menyerupai amalan agama lain.
Justeru, ia perlu dielakkan bagi menjaga identiti dan batas yang telah ditetapkan Islam.
Pemakaian cincin dan gelang berlebihan
Pemakaian aksesori seperti cincin dan gelang pada asasnya dibenarkan. Namun, tidak elok apabila dipakai secara berlebihan sehingga menarik perhatian.
Gelang yang berbunyi juga mempunyai hukum tersendiri. Jika bunyinya menarik perhatian atau dipakai dalam keadaan aurat tidak ditutup dengan sempurna, ia boleh mendatangkan dosa..
Kasut tumit tinggi berbunyi
Kasut tumit tinggi yang menghasilkan bunyi ketika berjalan turut termasuk dalam perkara yang perlu dielakkan.
Bunyi tersebut boleh menarik perhatian orang lain kepada langkah si pemakai, sekali gus bertentangan dengan prinsip kesederhanaan dalam berhias, lebih-lebih lagi jika aurat tidak dijaga dengan sempurna.
Pemakaian Inai
Pemakaian inai disunatkan bagi wanita yang telah berkahwin sebagai salah satu bentuk perhiasan yang digalakkan dalam Islam.
Namun, bagi wanita bujang, ia dikategorikan sebagai makruh, iaitu perbuatan yang sebaiknya ditinggalkan bagi mengelakkan perkara yang boleh mendekati larangan.
Kecantikan dalam Islam bukanlah sesuatu yang ditegah, tetapi ia perlu disertai dengan ilmu dan kesedaran.
“Setiap pilihan dalam berhias haruslah berpandukan niat, kesederhanaan dan penjagaan aurat agar kecantikan yang dizahirkan tidak tersasar daripada tuntutan agama,” katanya.- MUSLIMAH