Sebagai seorang isteri, penting untuk memahami poligami bukan sekadar keputusan suami, tetapi proses yang tertakluk kepada undang-undang dan syarat ketat yang melindungi hak anda sebagai isteri.
Menurut pakar perundangan Syarie, Aiman Zulkifli, terdapat empat syarat utama yang perlu dibuktikan di mahkamah sebelum kebenaran poligami diberikan.
Pertama, suami perlu menunjukkan wujudnya keperluan untuk berpoligami. Ini termasuk keadaan tertentu seperti masalah kesihatan isteri sedia ada yang kronik, kemandulan atau keadaan yang menjejaskan tanggungjawab rumah tangga.
“Malah, dalam kitab Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq, faktor seperti ketidakmampuan isteri memenuhi nafsu suami atau nisbah bilangan wanita yang jauh melebihi lelaki juga menjadi antara faktor yang diambil kira daripada sudut syarak,” katanya kepada Muslimah.
Suami juga wajib membuktikan kemampuan kewangan yang kukuh. Ini merangkumi nafkah untuk semua isteri, bakal isteri serta anak-anak, termasuk keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian, pendidikan dan keselamatan keluarga.
Syarat ketiga yang perlu difahami ialah perkahwinan baharu itu tidak boleh menyebabkan mudarat daripada segi mental atau fizikal kepada isteri sedia ada.
“Syarat ketiga lazimnya mampu dipenuhi jika suami tidak mempunyai rekod mencederakan, menganiaya dan mengabaikan isteri serta anak-anak,” katanya.
Syarat terakhir pula adalah aspek paling penting, iaitu keadilan. Suami wajib berlaku adil kepada semua isteri daripada sudut tanggungjawab dan layanan.
Malah, jika terdapat keraguan untuk berlaku adil, maka poligami tidak digalakkan.
“Sebagaimana peringatan Allah dalam surah An-Nisa ayat 3, jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka cukuplah dengan hanya seorang sahaja.
“Jika keempat-empat syarat ini berjaya dipenuhi dengan bukti yang sahih, tiada halangan bagi mahkamah untuk membenarkan permohonan tersebut. Namun, sekiranya satu sahaja syarat gagal dibuktikan, mahkamah berhak menolak permohonan suami,” katanya.-Muslimah