Sekali lagi masyarakat diruntun dengan berita duka berkaitan kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.
Seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, maut apabila dirempuh oleh individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.
Amirul meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid dan tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun.
Berita ini bukan sekadar statistik kemalangan jalan raya. Ada isteri yang hilang tempat bergantung dan ada anak-anak kecil yang tiba-tiba menjadi yatim akibat kecuaian individu lain.
Menyentuh isu ini, pendakwah selebriti, Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran di Threads, melontarkan satu perspektif yang cukup mendalam.
Bagi beliau, hukuman penjara semata-mata terhadap pemandu mabuk dilihat tidak memadai untuk ‘membela’ nasib waris yang ditinggalkan.
“Hukuman penjara sahaja tidak mampu menyara anak yatim atau isteri yang hilang punca nafkah,” katanya.
Katanya, dalam Islam, keadilan itu belum selesai selagi keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.
“Undang-undang perlu diperkasakan agar ‘Diyat’ atau pampasan sampai terus kepada waris tanpa birokrasi yang membebankan,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa amarah dan sedih yang tidak terhingga.
Ada yang menyifatkan arak sebagai ‘ibu segala kerosakan’.
Walaupun hanya sekadar cecair, namun kesannya mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan orang lain dalam sekelip mata.
Sudah tiba masanya undang-undang tidak hanya melihat kepada aspek ‘menghukum’, tetapi juga aspek ‘memulih’.
Pampasan yang adil dan pantas kepada keluarga mangsa harus menjadi keutamaan.-Muslimah