Di sebalik kesibukan rutin seorang guru, wanita ini tetap mempunyai ruang untuk kasih sayang, empati dan pengorbanan terhadap insan memerlukan.
Dalam dunia yang sering bergerak pantas, beliau memilih untuk memperlahankan langkah demi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal, apatah lagi anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih ihsan.
Bagi Nurul Hafizah Mohamad Ramli, kegembiraan murid-muridnya sentiasa menjadi keutamaan.
Guru yang juga dikenali di platform Threads sebagai @notnughul itu tidak pernah melihat tugasnya sekadar menyampaikan ilmu di dalam kelas, sebaliknya memahami kehidupan murid di luar bilik darjah, termasuk cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Tahun ini, sekali lagi beliau berusaha memastikan murid-murid asnaf di sekolahnya tidak terpinggir daripada merasai kegembiraan menyarung baju raya seperti rakan-rakan lain.
Niatnya mungkin kelihatan kecil di mata sesetengah orang, namun bagi anak-anak yang kurang berkemampuan, peluang untuk memakai baju raya yang kemas dan cantik pada pagi Syawal adalah satu kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Setiap tahun, Nurul Hafizah akan menghadiahkan persalinan raya baharu untuk anak-anak murid berstatus asnaf hanya demi melihat senyuman mereka sama seperti kanak-kanak lain menyambut lebaran.
Namun pada tahun ini, cabaran yang dihadapi agak berbeza. Jika sebelum ini beliau berjaya mendapatkan penaja baju raya untuk murid-murid tersebut, keadaan kali ini tidak seperti yang diharapkan.
Beberapa minggu sebelum Ramadan, beliau mula berasa risau kerana tidak berjaya mendapatkan penaja seperti tahun-tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, beberapa murid mula bertanya kepadanya tentang baju raya sejak awal Ramadan.
Pertanyaan itu mungkin kelihatan biasa, tetapi bagi wanita ini, ia membawa beban emosi yang cukup besar.
Seramai 76 murid asnaf sedang menaruh harapan kepadanya, maka beliau tidak boleh berputus asa.
Daripada kekangan tersebut, tercetus idea untuk mengumpul baju raya terpakai daripada orang ramai.
Baginya, selagi pakaian itu masih baik dan boleh dipakai, ia tetap mampu menghadirkan senyuman kepada anak-anak yang memerlukan.
Walaupun tidak semewah pakaian baharu, sekurang-kurangnya murid-murid tersebut masih berpeluang menyarung pakaian yang cantik dan sesuai untuk dipakai pada Hari Raya.
Di sebalik usaha tersebut, terselit pengorbanan masa dan tenaga yang tidak diketahui ramai.
Dalam kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru, Nurul Hafizah menggunakan setiap masa senggang yang ada untuk menguruskan baju-baju sumbangan yang diterimanya.
Ada kalanya beliau membawa beg berisi pakaian ke bilik guru, memeriksa satu persatu helaian di sela-sela waktu mengajar.
Setiap helai baju diperiksa dengan teliti. Jika terdapat benang yang terkeluar, beliau akan memotongnya. Jika lipatan tidak kemas, beliau akan melipatnya semula sehingga benar-benar rapi.
Walaupun sekadar baju terpakai, beliau mahu murid-muridnya merasai pengalaman seolah-olah menerima baju raya yang baharu.
Lebih menyentuh hati, bagi memastikan setiap baju kelihatan istimewa, Nurul Hafizah menggunakan plastik kertas peperiksaan untuk membungkus pakaian tersebut dengan kemas.
Usaha kecil itu dilakukan semata-mata agar murid-muridnya merasakan pengalaman membuka bungkusan baju raya seperti orang lain.
Rutin hariannya bermula seawal pukul enam pagi hingga enam petang. Waktu pagi diisi dengan persiapan ke sekolah dan tanggungjawab sebagai pendidik, manakala waktu selebihnya digunakan untuk menguruskan baju-baju sumbangan tersebut.
Walaupun keletihan sering dirasai, beliau tidak pernah menganggap usaha itu sebagai beban.
“Walaupun kerja ini melelahkan, tetapi melihat baju yang bersih, wangi dan dilipat rapi memberi saya kepuasan tersendiri. Saya mahu mereka merasai kegembiraan seperti mendapat baju baharu,” katanya kepada Muslimah.
Namun ketika persiapan hampir selesai, beliau sekali lagi berdepan cabaran yang tidak dijangka.
Jumlah baju yang dikumpul masih belum mencukupi untuk menampung keperluan kesemua murid.
Ketika itu, beliau menyedari masih memerlukan kira-kira 50 helai lagi untuk memastikan semua murid mendapat baju raya.
Perasaan panik mula menyelubungi dirinya. Masa semakin suntuk, sedangkan tanggungjawab yang dipikul masih belum selesai.
Dalam keadaan terdesak, Nurul Hafizah mengambil keputusan untuk membuat hantaran di aplikasi Threads bagi meminta bantuan orang ramai.
Perkongsian tersebut pada awalnya sekadar satu usaha terakhir. Namun tanpa disangka, hantaran itu mendapat perhatian yang sangat luas daripada masyarakat.
Tidak sampai sehari, pelbagai mesej mula diterimanya daripada individu yang ingin membantu.
Ada yang menawarkan baju raya terpakai yang masih elok, malah ada juga yang sanggup menghantar pakaian tersebut pada hari yang sama.
“Saya sangat terkejut dan terharu. Ketika itu memang saya benar-benar terdesak, tetapi ramai yang sudi membantu. Memang tidak menang tangan untuk membalas semua mesej, tetapi saya tetap cuba,” katanya.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian beberapa pempengaruh tempatan serta jenama fesyen terkenal seperti Anas Zahrin, Maslea, House of Ariani, AbayaLubnaa serta Lela & Teja yang tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan baju raya baharu.
Akhirnya, kesemua 76 murid asnaf di sekolah tersebut bukan sahaja menerima baju raya terpakai yang telah disiapkan dengan penuh teliti oleh Nurul Hafizah, malah turut menerima baju raya baharu hasil sumbangan jenama dan pempengaruh tempatan.
(Para guru menyusun baju raya sumbangan orang ramai)
Ini bermakna, buat pertama kalinya, mereka mempunyai dua pasang baju raya untuk dipakai pada tahun ini.
Bagi kebanyakan orang, memiliki dua pasang baju raya mungkin sesuatu yang biasa. Namun bagi murid-murid ini, ia adalah satu kegembiraan yang luar biasa.
Harapannya, anak-anak murid dapat bergambar bersama keluarga pada pagi raya dengan penuh keyakinan dambil mengenakan baju baharu yang membuatkan mereka tersenyum bangga.
Nurul Hafizah turut bersyukur melihat keprihatinan masyarakat Malaysia yang sanggup tampil membantu tanpa mengenal siapa.-Muslimah