Cara bijak nikmati bufet tanpa berat badan naik

Aroma kambing bakar, kelazatan bubur lambuk dan deretan pemanis mulut berwarna-warni di meja buffet sering kali menjadi ujian terbesar buat yang berpuasa.

Tanpa sedar, kita sering terjebak dengan budaya ‘balas dendam’ sehingga pinggan penuh membukit yang akhirnya menyebabkan berat badan naik mendadak.

Menurut kajian dalam Journal of Consumer Research, kepelbagaian pilihan makanan cenderung merangsang otak untuk makan lebih banyak daripada keperluan sebenar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menekankan konsep Suku Suku Separuh dan prinsip ini tetap boleh diaplikasikan walaupun di depan ratusan hidangan mewah.

Mulakan dengan makanan  yang ringan

Jangan terus meluru ke arah kambing golek atau nasi beriani sebaik sahaja berbuka. Mulakan dengan tiga biji kurma dan segelas air kosong terlebih dahulu. Kurma membekalkan tenaga segera dalam bentuk glukosa yang membantu memberi isyarat kepada otak bahawa tubuh sudah mula menerima makanan. Secara tidak langsung, ia membantu menenangkan rasa lapar yang membuak-buak dan mengelakkan anda mengambil makanan secara berlebihan.

Teknik ‘Pusingan Pertama’ (The Scouting Lap)

Jangan ambil pinggan sebaik sahaja masuk ke ruang makan. Pusing satu dewan bufet tanpa pinggan. Kenal pasti tiga hingga lima menu utama yang benar-benar anda mahu makan. Ini mengelakkan anda mengambil setiap satu hidangan hanya kerana nampak menarik.

Gunakan pinggan kecil

Kajian menunjukkan penggunaan pinggan ebih kecil secara visual membuatkan kita rasa hidangan sudah cukup banyak (delusi optik). Hal ini secara tidak langsung mengawal saiz hidangan.

Pilih protein dan serat dahulu

Isi pinggan anda dengan sayur-sayuran (kerabu atau salad) dan sumber protein (ikan bakar atau ayam) terlebih dahulu. Serat dan protein mengambil masa lebih lama untuk dihadam, membuatkan anda rasa kenyang lebih cepat sebelum sempat mengambil karbohidrat ringkas yang tinggi kalori.

Mengikut panduan KKM, anda dinasihatkan untuk berhenti makan sebelum perut terasa terlalu sendat. Rasa kenyang biasanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke otak dari perut. Jika makan terlalu laju, anda akan terlepas isyarat ‘berhenti’ ini.

Berbuka di buffet bukan lesen untuk mengabaikan kesihatan. Pilih menu dengan bijak dan nikmati kemeriahan Ramadan tanpa perlu risaukan saiz pinggang dan tahap kesihatan menjelang  Aidilfitri nanti. – Muslimah

TAGGED: