Atasi bibir kering ketika di bulan puasa

Menjelang penghujung Ramadan, ramai yang mula berdepan dengan masalah bibir kering dan pecah-pecah akibat kurang pengambilan air.

Walaupun kelihatan remeh, keadaan ini boleh menjejaskan keselesaan dan penampilan seseorang, terutama bagi wanita yang ingin tampil segar dan yakin menyambut Syawal.

Tidak semua mengalaminya, namun bagi sesetengah wanita, bibir yang kelihatan pucat, menggelupas atau lebih teruk hingga berdarah boleh menjejaskan keyakinan diri.

Malah, keadaan ini bukan sahaja menyakitkan, tetapi turut menyebabkan rasa pedih ketika bercakap atau menikmati hidangan berbuka puasa.

Berikut tip mudah untuk atasi bibir kering dan mengelupas.

1. Kerap minum air

Kekurangan cecair dalam badan antara punca utama bibir menjadi kering. Pastikan pengambilan air mencukupi antara waktu berbuka hingga sahur.

Amalkan minum air kosong secara berperingkat, contohnya satu hingga dua gelas ketika berbuka, diikuti beberapa gelas lagi selepas solat dan sebelum tidur serta dua gelas ketika sahur.

Cara ini membantu mengekalkan hidrasi badan sepanjang hari berpuasa.

2. Guna pelembap bibir

Pemakaian pelembap bibir sangat membantu dalam mengekalkan kelembapan bibir. Pilih produk yang mengandungi bahan pelembap seperti shea butter, vitamin E atau aloe vera.

Sapukan sebelum keluar rumah dan ulang pemakaian jika perlu, terutama selepas berbuka dan sebelum tidur.

Elakkan produk yang mengandungi bahan yang boleh menyebabkan iritasi jika bibir terlalu sensitif.

3. Skrub bibir

Kulit mati yang terkumpul pada bibir boleh menyebabkan bibir kelihatan kusam dan mudah merekah.

Lakukan skrub bibir secara lembut satu hingga dua kali seminggu untuk menanggalkan sel kulit mati.

Namun, jangan lakukan terlalu kerap kerana ia boleh menyebabkan bibir menjadi lebih sensitif dan nipis.

4. Hindari tabiat mejilat bibir

Ramai yang tidak sedar tabiat menjilat bibir sebenarnya membuatkan bibir menjadi lebih kering.

Walaupun air liur memberi rasa lembap seketika, ia cepat mengering dan boleh menyebabkan bibir menjadi lebih kering berbanding sebelumnya.

Selain itu, enzim dalam air liur juga boleh merengsakan kulit bibir yang sensitif.

5. Kurangkan minuman berkafein

Minuman seperti kopi dan teh mengandungi kafein yang boleh menyebabkan badan kehilangan lebih banyak cecair.

Jika diambil secara berlebihan ketika sahur atau berbuka, ia boleh meningkatkan risiko dehidrasi ringan dan seterusnya menyumbang kepada masalah bibir kering.

Sebaiknya, utamakan air kosong dan minuman yang lebih menyegarkan seperti air kosong atau air buah tanpa gula berlebihan.

6. Elakkan makanan yang terlalu masin

Makanan yang terlalu masin membuatkan badan cepat haus dan mengganggu keseimbangan cecair dalam tubuh.

Apabila tubuh kehilangan lebih banyak air, bibir juga akan lebih mudah kering.

Oleh itu, kawal pengambilan makanan masin ketika sahur agar badan kekal bertenaga dan tidak cepat mengalami dehidrasi.

Akhir sekali, bibir yang sihat bukan sekadar untuk kecantikan, tetapi juga tanda tubuh yang cukup hidrasi.