Isu wanita yang mudah tenggelam dalam perasaan, prasangka dan emosi tidak terkawal sering menjadi perbincangan dalam masyarakat.
Hakikatnya, wanita sememangnya dikurniakan jiwa yang halus, sensitif dan penuh empati.
Namun, keistimewaan ini memerlukan panduan agar ia menjadi kekuatan, bukan kelemahan.
Pendakwah bebas, Husna Ghani berkata, keadaan itu sering berlaku apabila wanita tidak menyibukkan dirinya dengan ilmu.
“Wanita dikurniakan emosi yang halus dan sensitif dan ia satu keistimewaan, tetapi jika tidak berpandukan ilmu, emosi boleh menguasai diri,” katanya.
Katanya, jiwa yang kosong tanpa pengisian ilmu menjadikan wanita mudah terperangkap dalam kitaran pemikiran yang tidak sihat.
Tanpa panduan yang jelas, fikiran boleh melayang kepada perkara yang belum tentu benar, berprasangka tanpa asas serta berangan-angan tanpa batas.
Keadaan ini bukan sahaja memenatkan emosi malah memberi kesan kepada hubungan, pekerjaan dan kesejahteraan diri.
“Apabila seorang wanita tidak sibuk dengan ilmu, dia akan sibuk dengan perasaannya dan bila hati sudah kosong daripada pengisian ilmu, syaitan mudah meniupkan sangkaan dan prasangka,” katanya.
Tambahnya, ilmu yang dimaksudkan bukan hanya terhad kepada satu bidang tertentu.
Ia bukan sekadar menghadiri kelas agama semata-mata, tetapi merangkumi usaha berterusan memperbaiki diri melalui pelbagai bentuk pembelajaran.
Ilmu yang dimaksudkan bukan hanya terhad kepada satu bidang tertentu, tetapi Ia merangkumi ilmu agama, memperbanyakkan doa, mendalami al-Quran, membaca sirah serta mempelajari ilmu kehidupan secara umum.
“Isi masa dengan al-Quran, doa dan bacaan yang bermanfaat. Ilmu itu luas. Jangan biarkan hati kosong tanpa panduan,” katanya.
Dalam konteks kehidupan moden yang penuh cabaran, wanita sering berdepan tekanan daripada pelbagai sudut.
Antaranya, keluarga, kerjaya, kewangan dan ekspektasi masyarakat.
Tanpa pengisian rohani dan intelektual yang konsisten, tekanan ini mudah bertukar menjadi beban emosi yang sukar dikawal.
Justeru, menyibukkan diri dengan ilmu bukan sekadar untuk menambah pengetahuan, tetapi sebagai benteng pertahanan jiwa.
Tujuan utama menyibukkan diri dengan ilmu adalah supaya hati dan masa dipenuhi dengan perkara yang memberi manfaat.
Apabila jiwa dipandu dengan kefahaman yang betul, wanita tidak lagi mudah tenggelam dalam emosi atau membiarkan perasaan menguasai diri.
Paling penting, emosi bukan sesuatu yang negatif kerana ia adalah fitrah wanita. Namun, emosi perlu dipimpin oleh ilmu.
Sebagai contoh, rasa kecewa boleh membawa kepada pengharapan yang lebih tinggi kepada Allah SWT dan kekecewaan yang dipandu ilmu menjadikan seseorang lebih bergantung kepada-Nya, bukan bertindak mengikut dorongan hati semata-mata.
Begitu juga dengan rasa marah atau tertindas. Tanpa ilmu, emosi tersebut boleh mendorong kepada tindakan kurang bijak.
Namun dengan ilmu, seseorang mampu menenangkan diri, bersabar dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT yang Maha Adil.
“Wanita berilmu bukan wanita yang tiada perasaan, tetapi wanita yang tidak membiarkan perasaannya menentukan arah hidupnya,” katanya.
Kesimpulannya, wanita tidak perlu membuang emosinya untuk menjadi kuat.
Sebaliknya, emosi itu perlu dibentuk dan dipandu dengan kefahaman yang benar.
Apabila hati sentiasa diisi dengan ilmu dan jiwa sentiasa disandarkan kepada Allah SWT, emosi yang halus itu akan menjadi sumber kekuatan dan bukan punca kelemahan.-Muslimah