Ramai pasangan menganggap waktu anak tidur adalah masa yang selamat untuk ‘urusan’ suami isteri.
Namun tanpa mereka sedari, perlakuan itu sedang diperhatikan oleh anak yang adakalanya terjaga daripada tidur.
Perkara itu diceritakan oleh Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob yang menyaksikan sendiri anak-anak kecil meniru perbuatan tidak senonoh di tadika kerana tidak memahami konteks sebenar situasi tersebut.
Malah, ada yang menceritakan semula kejadian di bilik tidur kepada guru-guru di tadika.
Katanya, perkara itu berlaku kerana kanak-kanak mentafsir berdasarkan tahap pemikiran yang masih mentah.
“Ada kes murid beritahu guru secara terperinci perkara yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Apa yang mereka fikir bukan seperti apa yang kita fikirkan,” katanya kepada Muslimah.
Tambahnya, anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang mencorakkan pembentukan nilai mereka.
Pendedahan kepada situasi intim tanpa penjelasan boleh menjadi tanda amaran yang memberi kesan jangka panjang.
Beliau menerima banyak aduan daripada remaja dan orang dewasa yang mengakui pernah melihat perbuatan itu ketika kecil.
Pada peringkat awal, mereka mungkin sekadar rasa ingin tahu, namun rasa itu boleh membawa kepada carian di internet, terdedah kepada bahan pornografi dan seterusnya memberi impak negatif terhadap perkembangan diri.
Memori awal anak-anak
Menurut Nurfarahira, seawal usia dua hingga tiga tahun, kanak-kanak sudah menyimpan memori jangka panjang walaupun masih rapuh.
Jika tiada pengukuhan seperti penceritaan semula, memori itu mungkin pudar, namun tidak semestinya hilang sepenuhnya.
Fenomena ini dikenali sebagai childhood amnesia dan kebanyakan orang dewasa hanya mengingati pengalaman sekitar usia tiga hingga empat tahun.
Dalam tempoh satu hingga tiga tahun, anak berada dalam fasa peniruan fizikal. Mereka memerhati cara ibu bapa bercakap dan berinteraksi.
Memasuki usia empat hingga enam tahun, mereka mula meniru nilai dan perlakuan yang mereka anggap normal, terutama daripada individu yang paling dipercayai (ibu bapa).
“Jika anak melihat perlakuan intim ibu bapa, mereka mungkin menyangka ia sesuatu yang boleh mereka ikut,” katanya.
Beliau turut berkongsi terdapat kes kanak-kanak di tadika melakonkan semula aksi tidak wajar di depan guru atau bersama rakan sebaya kerana mereka memproses maklumat yang dilihat dengan cara yang salah.
Didikan batas bermula di rumah
Ibu bapa perlu mendidik anak tentang batas peribadi dan privasi mengikut tahap usia masing-maisng.
Bagi usia satu hingga tiga tahun, anak perlu diperkenalkan dengan konsep hak milik tubuh melalui penamaan anggota badan yang tepat.
Tambahan, mereka juga harus diajar perbezaan antara sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.
Menghormati kata ‘tidak’ daripada anak apabila mereka enggan dipeluk atau dicium penting bagi membentuk kesedaran mereka mempunyai kawalan terhadap tubuh sendiri.
Apabila memasuki usia empat hingga enam tahun, ibu bapa boleh memperkenalkan konsep ‘peraturan pakaian dalam’ bahagian tubuh yang dilindungi pakaian dalam adalah kawasan sulit yang tidak boleh dilihat atau disentuh orang lain kecuali atas tujuan kesihatan dan kebersihan.
Bbagi usia tujuh hingga 12 tahun pula, didikan privasi perlu diperluaskan kepada ruang peribadi dan dunia digital.
Anak perlu faham tubuh serta maklumat peribadi tidak wajar dikongsi di platform dalam talian.
Budaya menghormati privasi boleh dimulakan dengan perkara kecil seperti mengetuk pintu sebelum masuk ke bilik anak.
Peka sebelum terlambat
Nurfarahira menasihatkan ibu bapa supaya peka terhadap perubahan tingkah laku anak.
Antara tanda membimbangkan ialah menunjukkan peniruan seksual yang tidak sesuai atau kelihatan murung dan keliru.
Jika anak bertanya dengan nada cemas atau salah faham terhadap bunyi dan pergerakan yang mereka dengar, penjelasan mengikut tahap usia perlu diberikan.
Tambahan, sesi kaunseling juga boleh membantu jika keadaan memerlukan.
Reaksi ibu bapa yang panik atau gagal mengawal emosi hanya boleh memburukkan keadaan.
“Apa yang penting, ibu bapa sendiri perlu menjadi contoh dalam menjaga privasi dan rasa malu di hadapan anak.
“Pendidikan tentang batas diri bermula daripada apa yang mereka lihat setiap hari di rumah,” katanya.-Muslimah