‘Red flag’ dalam hubungan bermula dengan perkara kecil

Dalam sesebuah perkahwinan, tidak semua hubungan sentiasa berada dalam keadaan bahagia walaupun dari luar kelihatan tenang dan baik-baik sahaja.

Ada pasangan yang dalam diam sebenarnya sedang terluka dengan sikap, kata-kata dan layanan yang perlahan-lahan menjejaskan emosi mereka.

Kadangkala, perkara itu bermula dengan hal yang dianggap kecil seperti pasangan suka merendahkan, mempersendakan atau mendiamkan diri ketika berlaku konflik dan jika kerap dibiarkan terlalu lama, ia boleh menjadi petanda hubungan sedang bergerak ke arah yang tidak sihat.

Pensyarah Kanan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Marziah Zakaria berkata, tanda amaran dalam hubungan atau red flag perlu diberi perhatian sejak awal kerana tingkah laku negatif yang kecil boleh menjadi semakin serius dari semasa ke semasa.

“Ramai pasangan menganggap sikap tertentu hanya perangai biasa, sedangkan ia sebenarnya memberi kesan besar terhadap emosi dan kesejahteraan rumah tangga,” katanya kepada Muslimah.

Dalam bidang psikologi hubungan, red flag merujuk kepada petunjuk awal sesuatu hubungan berpotensi menjadi toksik atau tidak sihat jika masalah tersebut tidak ditangani dengan baik.

Empat sikap yang boleh rosakkan hubungan

Pakar psikologi hubungan, John Gottman memperkenalkan teori The Four Horsemen, iaitu empat sikap utama yang sering menjadi petanda hubungan sedang menuju keretakan.

Sikap pertama ialah terlalu gemar mengkritik pasangan sehingga menyerang personaliti dan harga diri mereka.

Kata Dr. Siti Marziah, teguran dalam rumah tangga adalah normal, namun keadaan menjadi tidak sihat apabila seseorang mula menjatuhkan pasangan sebagai individu.

“Contohnya apabila pasangan sering menggunakan ayat seperti “Awak memang tak guna,” atau “Memang perangai awak macam ini,” katanya.

Sikap kedua ialah menghina, memperlekeh atau memandang rendah pasangan.

“Ada individu yang menjadikan gurauan kasar sebagai kebiasaan, menghina pasangan di hadapan orang lain atau mempermainkan kelemahan pasangan sendiri,” katanya.

Walaupun nampak kecil, sikap seperti ini boleh memberi kesan besar terhadap emosi dan keyakinan diri seseorang jika berlaku secara berterusan.

Selain itu, terdapat juga sikap defensiveness apabila terlalu mempertahankan diri dan enggan mengaku kesalahan walaupun jelas dirinya bersalah.

Keadaan itu menyebabkan setiap konflik menjadi sukar diselesaikan kerana pasangan lebih sibuk mencari alasan daripada memperbaiki hubungan.

Manakala, sikap stonewalling pula berlaku apabila pasangan memilih untuk mendiamkan diri, mengelak perbincangan atau memberi silent treatment dalam tempoh lama.

Lama-kelamaan, hubungan mula terasa dingin kerana komunikasi antara suami dan isteri semakin menjauh.

Hubungan toksik sering berlaku dalam kitaran berulang

Pakar psikologi, Lenore E. Walker turut memperkenalkan konsep Cycle of Abuse atau kitaran keganasan dalam hubungan.

Menurut teori tersebut, hubungan toksik selalunya berlaku secara berulang bermula dengan fasa ketegangan sebelum berlaku pergaduhan, kemarahan atau layanan menyakitkan.

Selepas itu, pasangan biasanya akan meminta maaf, menunjukkan penyesalan dan kembali bersikap baik sehingga membuatkan pasangan berharap keadaan benar-benar berubah.

Namun, lama-kelamaan konflik yang sama kembali berulang dan keadaan itu menyebabkan ramai individu sukar keluar daripada hubungan toksik.

Menurut Dr. Siti Marziah, pasangan perlu mula mengambil serius apabila sesuatu sikap negatif bukan lagi berlaku sekali-sekala, tetapi sudah menjadi pola yang menjejaskan emosi dan ketenangan hubungan.

“Ramai percaya pasangan akan berubah secara automatik selepas berkahwin, sedangkan hakikatnya perubahan besar jarang berlaku tanpa usaha dan kesedaran diri yang serius,” katanya.

Tingkah laku negatif boleh menjadi semakin buruk jika tidak dikawal sejak awal.

Jika sebelum berkahwin seseorang hanya suka meninggikan suara, menghina atau memarahi pasangan, selepas berkahwin ia berpotensi berkembang menjadi keganasan fizikal.-Muslimah