Lelaki takut dengan wanita bijak?

Tarkala melihat wanita moden yang sukses memegang segulung ijazah tinggi atau menduduki kerusi empuk korporat, semua mata kasar pasti memandang kagum. 

Percaya atau tidak, dalam realiti hubungan hari ini, kewujudan kelompok wanita seperti ini sering kali membuatkan kaum lelaki runsing.

Wujud semacam satu corak psikologi di mana lelaki cenderung mengundur diri apabila menyedari wanita di hadapan mereka mampu berhujah dengan lebih bernas. Namun, apakah punca kepada ketakutan ini?

Ancaman kepada ‘ego maskulin’ dan kelelakian

Secara evolusi dan budaya, lelaki sering dididik untuk menjadi pelindung, penyedia dan ketua dalam hubungan. Apabila seorang wanita dilihat lebih bijak atau mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah yang lebih hebat, perkara ini secara tidak langsung mencabar status tersebut.

Apabila lelaki menilai wanita dari jarak jauh (secara hipotetikal), mereka sangat tertarik kepada wanita yang bijak. Bagaimanapun, apabila mereka perlu berhadapan dan berinteraksi secara bersemuka, daya tarikan itu menurun. Lelaki cenderung berasa kurang maskulin dan terancam apabila wanita tersebut menunjukkan kecerdasan yang mengatasi mereka.

Sindrom Hypergamy dan jangkaan sosial

Daripada sudut sosiologi, terdapat konsep yang dipanggil Hypergamy iaitu kecenderungan semula jadi masyarakat di mana wanita mencari pasangan yang mempunyai status sosial, pendidikan dan kewangan yang lebih tinggi atau sekurang-kurangnya setaraf dengan mereka.

Apabila seorang wanita itu terlalu bijak atau berjaya, ruang pilihan untuk lelaki menjadi semakin sempit. Peralihan landskap pendidikan di mana lambakan wanita kini mendominasi menara gading berbanding lelaki mewujudkan satu jurang. 

Lelaki sering berasa takut kerana bimbang tidak mampu memenuhi jangkaan atau standard yang diletakkan oleh wanita berpendidikan tinggi ini.

Ketakutan terhadap sifat terlalu berdikari 

Wanita yang bijak biasanya hadir pakej bersama sifat berdikari yang tinggi. Mereka tahu perkara yang dimahukan, tegas dengan pendirian dan tidak mudah dimanipulasi.

Bagi sesetengah lelaki, sifat ini diterjemahkan sebagai ‘tidak memerlukan lelaki’. Pakar psikologi hubungan menjelaskan salah satu keperluan emosi terbesar seorang lelaki dalam hubungan adalah Hero Instinct iaitu keinginan untuk berasa diperlukan oleh pasangannya. 

Apabila wanita terlalu bijak dan mampu menguruskan segala-galanya sendiri, lelaki hilang fungsi ‘hero’ tersebut, lalu memilih untuk menjauhkan diri kerana berasa tidak dihargai.

Takut kalah dalam perdebatan atau konflik

Komunikasi dengan wanita bijak memerlukan tahap intelektual yang setara. Wanita yang mempunyai pemikiran kritis tidak akan menerima sesuatu bulat-bulat di mana mereka akan menyoal, menganalisis dan memberikan hujah yang bernas.

Satu perkongsian artikel daripada Harvard Business Review mengenai corak jantina menyatakan lelaki kadangkala mengelak daripada wanita yang terlalu bijak kerana enggan berada dalam situasi konflik yang melibatkan perdebatan mental. 

Mereka bimbang ego mereka akan terkesan sekiranya hujah mereka dipatahkan atau berasa kurang pintar di hadapan pasangan sendiri.

Hakikatnya, ketakutan ini bukanlah bermakna lelaki membenci wanita yang bijak. Bagi wanita bijak, kecerdasan bukanlah satu kekurangan, melainkan satu anugerah.

Lelaki yang matang dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi  tidak akan melihat kebijaksanaan wanita sebagai ancaman sebaliknya sebagai satu gandingan mantap untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.-Muslimah