Tanggapan bahawa golongan wanita selalu betul atau enggan kalah dalam sesebuah perhubungan romantik sebenarnya mempunyai penjelasan saintifik yang berkait rapat dengan struktur psikologi dan tahap kesedaran emosi mereka yang tinggi.
Pakar dan pemerhati psikologi mendedahkan, situasi itu berlaku bukan disebabkan oleh keegoan semata-mata, sebaliknya didorong oleh keupayaan semula jadi wanita yang lebih sensitif terhadap sebarang perubahan dalam perhubungan.
Menurut perkongsian pakar psikologi, fitri.hidayat95, golongan wanita memiliki kelebihan mengesan sebarang perubahan mikro secara separa sedar melibatkan pasangan dengan pantas.
“Wanita sangat cepat mengesan perubahan kecil antaranya membabitkan tona suara, ekspresi wajah, bahasa tubuh, kurangnya hubungan mata malah perubahan sekecil corak membalas mesej.
“Disebabkan proses pengecaman ini berlaku secara dalaman, wanita sering mendapat gerak hati atau intuisi ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dalam hubungan mereka walaupun bukti fizikal belum kelihatan jelas,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perbezaan tindakan ketika berlaku konflik, kaedah daya tindak antara lelaki dan wanita didapati amat berbeza.
Apabila tercetusnya pertelingkahan, golongan wanita secara umumnya didapati lebih ekspresif dan cenderung untuk berbincang, menjernihkan keadaan serta memproses emosi secara terbuka dengan artikulasi yang jelas.
Berbeza pula dengan kebanyakan lelaki yang lebih gemar menggunakan mekanisme pengunduran diri atau memilih untuk berdiam diri apabila komunikasi mula tidak sehaluan.
“Perbezaan ini menyebabkan wanita kelihatan seolah-olah ‘menang’ dalam hujah berkenaan kerana keupayaan mereka menjelaskan emosi dan situasi secara mendalam.
“Malah daripada sudut neurosains, otak wanita memproses pengalaman emosi secara lebih mendalam selain kecenderungan melakukan proses (mengulang tayang situasi dalam kepala), sekali gus membuatkan mereka mampu mengingati perincian pergaduhan lama dengan sangat spesifik,” jelasnya.
Bagaimanapun, laporan itu turut mengingatkan naluri wanita tidak selalunya 100 peratus tepat kerana boleh dipengaruhi oleh faktor kebimbangan, pemikiran berlebihan, trauma serta perasaan takut ditinggalkan.
Keadaan itu adakalanya boleh mencetuskan salah tafsiran seperti mencari kesilapan pasangan demi membuktikan tanggapan sendiri.
Sehubungan itu, keharmonian sesebuah hubungan tidak seharusnya diletakkan atas usaha sebelah pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan tahap kecerdasan emosi yang tinggi daripada kedua-dua pihak.
“Ungkapan ‘perempuan selalu betul’ tidak bermakna wanita sentiasa benar tetapi menunjukkan mereka sangat memelihara perkara yang orang lain (lelaki) mungkin tidak perasan.
“Hubungan yang sihat memerlukan sikap sedia mendengar, memahami tanpa prejudis serta mengetepikan ego demi kebaikan bersama,” katanya.-MUSLIMAH