Perceraian sering kali dianggap sebagai titik noktah kepada sebuah penderitaan.
Namun, bagi segelintir wanita, melangkah keluar dari pintu mahkamah hanyalah permulaan kepada fasa perjuangan emosi yang lebih mencabar, terutamanya apabila terpaksa berhadapan bekas pasangan yang mempunyai personaliti narsistik.
Baru-baru ini, tular sebuah luahan di Threads yang menyentuh hati warga maya mengenai keperitan seorang wanita meneruskan hidup pasca-perceraian bersama bekas suaminya demi menjaga kebajikan anak mereka (co-parenting).
Menerusi perkongsian wanita yang menggunakan nama akaun _itsjustonlymee, bekas suaminya masih lagi cuba mengawal emosi dan kewangannya walaupun hubungan sudah lama berakhir.
Katanya, dia mendedahkan perkara itu bukan untuk mengaibkan sebaliknya sebagai pengajaran buat wanita lain agar tidak terperangkap dalam kitaran hubungan yang sama.
“Sangat sakit bila dikenangkan luka yang dalam sepanjang hidup bersama tetapi demi anak, saya abaikan.
“Dulu semasa jadi isteri dia, dia selalu hina saya,” katanya.
Dia menceritakan betapa sukarnya kehidupan semasa berkahwin apabila bekas suami sering kali mencetuskan pergaduhan hanya kerana enggan membayar bil rumah, malah sanggup menghina isteri sendiri sebagai seorang yang ‘kebulur’ dan tidak tahu bekerja.
Walaupun dia telah berusaha menjadi suri rumah yang baik, menyediakan hidangan terbaik dan memastikan kebersihan rumah terjaga, segalanya tidak pernah dihargai.
“Tiap kali masak, dia hina masakan tidak sedap. Bila makan luar sesekali, dia maki-maki bila nak bayar. Padahal sebelum itu, dia yang ajak keluar,” katanya.
Malah, setelah bercerai pun, sikap ‘narsistik’ bekas suaminya itu tidak berubah. Setiap kali dia membawa anak mereka makan di luar, bekas suaminya akan ‘menumpang’ sekali namun hanya membayar jumlah yang minima, manakala selebihnya ditanggung olehnya.
Bekas suaminya juga dikatakan sering menggunakan taktik manipulasi emosi terhadap anak mereka.
Dia sering menelefon anak semata-mata untuk memantau apa yang dimakan dan ke mana mereka pergi, namun dalam masa yang sama enggan mengeluarkan belanja yang sewajarnya.
Kini, dia lebih tegas dalam menetapkan sempadan terutamanya dalam apa-apa urusan yang melibatkan kehidupan anak.
Dia yang kini bekerja keras untuk menyara diri dan anak, tekad untuk tidak lagi membiarkan dirinya dibuli secara mental.
“Dulu tidak tahu apa itu narsistik, sekarang sudah sedar. Dia bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan saya dahulu, malah sekarang cuba merosakkan kegembiraan saya bersama anak-anak melalui kata-kata hinaan dan kawalan terhadap kehidupan kami,” katanya.-Muslimah