Punca isteri hilang hak tuntut Mutaah

Mutaah adalah pemberian saguhati daripada suami kepada bekas isteri sebagai tanda penghargaan dan ihsan setelah ikatan perkahwinan terlerai.

Secara dasarnya, setiap wanita berhak menerima Mutaah sekiranya perceraian bukan berpunca daripada pihaknya.

Namun, hak ini boleh terjejas atau hilang disebabkan beberapa perkara.

Menerusi perkongsian firma perundangan syarie, Peguamsyarieperak, terdapat beberapa situasi utama yang boleh menyebabkan seorang bekas isteri hilang kelayakan menuntut pemberian itu.

Hak Mutaah boleh dinafikan sekiranya mahkamah mendapati perceraian berpunca daripada kesalahan berat isteri.

“Contoh yang paling jelas adalah apabila isteri disabitkan nusyuz (derhaka kepada suami tanpa alasan munasabah) atau terlibat dalam kecurangan dan pelanggaran tanggungjawab yang serius.

“Dalam hal ini, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah atau menolak terus tuntutan tersebut,” katanya.

Tambahnya, tuntutan Mutaah boleh ditolak jika penceraian dilakukan secara Khuluk (cerai tebus talak).

“Khuluk berlaku apabila isteri sendiri yang memohon cerai dengan menawarkan bayaran atau memulangkan mahar kepada suami.

“Memandangkan perceraian ini berlaku atas kehendak dan inisiatif isteri dengan cara ‘membayar’ untuk dilepaskan, maka secara lazimnya isteri tidak lagi berhak menuntut Mutaah.

Pasangan yang bercerai sebelum sempat melakukan hubungan kelamin (bersetubuh), kadar Mutaah yang bakal diterima mungkin berbeza.

“Perkara ini sangat bergantung kepada keadaan kes dan budi bicara mahkamah dalam menentukan keadilan buat kedua-dua belah pihak,” katanya.  –Muslimah