Setiap kali Syawal menjelang, pemberian duit raya kepada kanak-kanak menjadi antara tradisi yang paling dinanti-nantikan.
Selain melambangkan kegembiraan dan kasih sayang, wang yang diterima sering dianggap sebagai simpanan buat anak-anak untuk masa depan.
Namun dalam realiti kehidupan hari ini, timbul persoalan bolehkah ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak untuk menampung perbelanjaan keluarga atau untuk keperluan sendiri?
Isu ini semakin mendapat perhatian, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.
Ada dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa ‘mengusik’ duit raya anak tanpa menyedari keburukan daripada sudut hukum.
Hak milik anak, bukan keluarga
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, duit raya yang diberikan oleh orang lain kepada kanak-kanak adalah hak milik anak tersebut sepenuhnya.
Walaupun anak masih kecil dan belum mampu mengurus kewangan dengan baik, ibu bapa hanya berperanan sebagai pemegang amanah untuk menyimpan serta menguruskan wang berkenaan.
Amanah bukan sekadar menyimpan, tetapi memastikan hak anak tidak digunakan sewenang-wenangnya tanpa keperluan yang sah.
Justeru, ibu bapa perlu mengurus wang berkenaan dengan penuh tanggungjawab dan bukan menganggapnya sebagai wang keluarga yang bebas digunakan.
Tidak boleh digunakan tanpa keperluan
Secara prinsipnya, Islam melarang pengambilan harta orang lain tanpa keizinan pemilik, termasuk harta anak sendiri.
Menggunakan duit raya anak untuk tujuan peribadi seperti membeli barangan sendiri, melangsaikan hutang biasa atau menampung perbelanjaan harian tanpa keperluan mendesak tidak dibenarkan.
“Jika digunakan tanpa sebab yang dibenarkan, ibu bapa wajib menggantikan semula wang tersebut kerana ia melibatkan pelanggaran amanah,” katanya.
Keadaan yang dibenarkan
Bagaimanapun, syarak memberikan kelonggaran dalam keadaan tertentu.
Pertama, ibu bapa boleh menggunakan duit tersebut untuk maslahat anak itu sendiri seperti membeli keperluan sekolah, pakaian, rawatan kesihatan atau menyimpannya untuk masa depan.
Dalam situasi ini, ia tidak dianggap satu kesalahan kerana manfaatnya kembali kepada anak.
Kedua, dalam keadaan kecemasan atau kesempitan kewangan yang serius, ibu bapa dibenarkan menggunakan duit tersebut sebagai pinjaman sementara.
Begitupun, tetap wajib menggantikan semula apabila keadaan kewangan kembali stabil.
Amanah yang akan dipersoalkan
Walaupun dilihat remeh, isu ini sebenarnya berkait rapat dengan soal amanah dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Mengambil mudah hak anak bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan dalam keluarga, malah boleh menjadi beban dosa jika dilakukan tanpa keperluan yang sah.
Ibu bapa juga digalakkan mendidik anak-anak tentang pengurusan kewangan sejak kecil.
Menyimpan duit raya dalam akaun simpanan atau tabung khas adalah langkah bijak agar wang tersebut lebih terurus dan terpelihara.
Dalam membina keluarga yang diberkati, setiap amanah yang kecil sekalipun wajar dipandang serius kerana ia mencerminkan nilai tanggungjawab dan ketakwaan dalam kehidupan seorang Muslimah.-Muslimah