Selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, Syawal menjadi masa untuk meraikan kemenangan serta berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara.
Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, aktiviti beraya kadangkala boleh menjadi sedikit mencabar.
Anak-anak mudah berasa penat, bosan atau meragam jika terlalu lama berada di rumah orang tanpa persediaan yang betul.
Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak tentang adab ketika menjadi tetamu di rumah orang.
Didikan kecil seperti ini bukan sahaja memudahkan ibu bapa ketika beraya, malah membantu anak memahami cara berkelakuan baik apabila berada di rumah orang.
Berikut beberapa adab yang boleh diajar kepada anak-anak ketika beraya:
1. Jaga adab ketika berada di rumah orang
Sebelum pergi beraya, ibu bapa sebaiknya memberi pesanan awal kepada anak-anak untuk menjaga tingkah laku ketika berada di rumah orang lain.
Persediaan mental ini penting supaya anak memahami jika ditegur apabila melakukan sesuatu yang tidak sesuai.
Anak-anak juga perlu diajar untuk memberi salam dan bersalaman dengan orang yang lebih tua sebagai tanda hormat, terutama kepada saudara-mara yang lebih berusia.
Di dalam rumah pula, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak bertindak sesuka hati.
Elakkan mereka menyentuh atau mengambil barang tuan rumah tanpa kebenaran. Jangan biarkan anak menjadikan sofa atau perabot sebagai tempat bermain sehingga mengganggu tuan rumah.
Jika anak ingin bermain permainan milik tuan rumah, menggunakan tandas atau meminjam sesuatu, ajarlah mereka untuk meminta izin terlebih dahulu. Sikap kecil seperti ini sebenarnya mencerminkan adab dan didikan yang baik.
2. Pilih waktu sesuai untuk beraya
Ibu bapa juga perlu bijak memilih waktu yang sesuai untuk membawa anak kecil beraya supaya anak tidak terlalu penat atau meragam sepanjang ziarah.
Waktu yang lebih sesuai ialah pada sebelah pagi sebelum tengah hari atau selepas waktu petang. Pada waktu ini anak-anak biasanya masih bertenaga dan lebih mudah dikawal.
Elakkan membawa anak beraya terlalu lama pada waktu tengah hari kerana kebanyakan kanak-kanak akan mula mengantuk pada waktu tersebut. Jika waktu tidur mereka terganggu, mereka mungkin akan meragam, menangis atau menjadi tidak selesa.
Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan ibu bapa untuk meneruskan aktiviti beraya, malah boleh mengganggu suasana ketika berada di rumah orang.
3. Galakkan anak bersosial
Kanak-kanak mudah berasa bosan apabila berada lama di rumah orang. Oleh itu, galakkan mereka bermain atau berkenalan dengan sepupu serta rakan sebaya yang turut datang beraya.
Ini dapat membantu mereka belajar bersosial dan bergaul dengan orang lain. Elakkan anak terlalu leka dengan telefon bimbit atau televisyen sepanjang berada di rumah orang.
Melalui interaksi seperti ini, anak-anak bukan sahaja dapat mengenali saudara-mara dengan lebih rapat, malah dapat membina keyakinan diri untuk bergaul dalam masyarakat.
4. Jangan terlalu lama
Ibu bapa juga perlu faham anak kecil cepat bosan dan tidak faham mengapa mereka perlu berada lama di rumah orang.
Cukuplah sekadar menziarahi, bertegur sapa dan mengeratkan silaturahim. Jika anak sudah mula letih atau meragam, sebaiknya ibu bapa mempertimbangkan untuk pulang.
Sebagai tetamu, kita juga perlu peka dengan keadaan tuan rumah. Elakkan berada terlalu lama di rumah orang lain, lebih-lebih lagi jika sudah lewat malam.
5. Ajar tertib menerima duit raya
Ketika ingin pulang, biasanya kanak-kanak akan teruja apabila menerima duit raya. Pada masa inilah ibu bapa perlu mengingatkan mereka tentang adab menerimanya.
Ajar anak mengambil sampul duit raya dengan tangan kanan, tidak merampas daripada pemberi dan tidak membuka sampul tersebut di depan orang yang memberi.
Selain itu, ingatkan mereka untuk mengucapkan terima kasih sebagai tanda menghargai pemberian tersebut.
Walaupun adab-adab ini kelihatan kecil dan mudah, ia sebenarnya penting membentuk peribadi anak sejak kecil.
Didikan awal daripada ibu bapa akan membantu anak membesar menjadi insan yang beradab dan tahu menghormati orang lain. –Muslimah