Siapa tanggung zakat fitrah ibu tunggal?

Aidilfitri sepatutnya menjadi saat paling membahagiakan buat setiap muslimah.

Namun bagi sesetengah mereka, Syawal disambut dalam suasana berbeza apabila terpaksa melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas kehilangan suami atau melalui perpisahan rumah tangga. 

Dalam keadaan emosi yang masih belum stabil, timbul pula persoalan tentang tanggungjawab ibadah, khususnya kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Ramai yang beranggapan urusan tersebut boleh diserahkan kepada saudara lelaki atau bekas suami. 

Hakikatnya, hukum Islam menetapkan tanggungjawab itu berdasarkan kemampuan dan status hubungan yang masih wujud.

Wanita kematian suami 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wanita yang kematian suami wajib menunaikan zakat fitrah bagi dirinya sendiri sekiranya mempunyai lebihan harta atau kemampuan selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.

Zakat fitrah merupakan kewajipan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat, termasuk berkemampuan daripada segi kewangan.

Dalam konteks ini, tanggungjawab tersebut tidak lagi dipikul oleh sesiapa melainkan dirinya sendiri.

Begitupun, ahli keluarga seperti abang atau saudara terdekat boleh membantu menunaikan zakat fitrah bagi pihaknya sebagai tanda sokongan dan keprihatinan. 

Namun, bantuan tersebut perlu mendapat keizinan wanita berkenaan terlebih dahulu agar ibadah yang dilakukan sah.

Perceraian bergantung jenis talak

Bagi wanita yang melalui perceraian, tanggungjawab zakat fitrah pula bergantung kepada jenis talak serta tempoh iddah.

Sekiranya perceraian berlaku secara talak raj’i dan wanita masih berada dalam tempoh iddah, bekas suami masih bertanggungjawab memberi nafkah. 

Dalam keadaan ini, bekas suami juga menanggung kewajipan membayar zakat fitrah bagi pihaknya kerana daripada sudut hukum, status wanita tersebut masih dianggap sebagai isteri.

Sebaliknya, jika perceraian berlaku secara talak bain iaitu hubungan perkahwinan telah terputus sepenuhnya, bekas suami tidak lagi wajib menanggung nafkah atau membayar zakat fitrah.

Namun, sekiranya bekas suami ingin membantu atas dasar ihsan, perkara tersebut dibolehkan dengan syarat mendapat persetujuan wanita berkenaan.

Perjalanan hidup seorang wanita selepas kehilangan pasangan atau melalui perceraian bukanlah sesuatu yang mudah. 

Selain mengurus emosi, mereka juga memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam banyak keadaan.

Justeru, kefahaman terhadap kewajipan ibadah seperti zakat fitrah amat penting agar setiap amalan dilaksanakan dengan yakin dan tepat.

Memahami hukum yang sebenar bukan sahaja mengelakkan kekeliruan, malah membantu Muslimah melangkah ke Syawal dengan lebih tenang, tanpa rasa ragu terhadap tanggungjawab agama yang perlu ditunaikan.-Muslimah