Sempena Hari Wanita Sedunia, figura seni yang kini semakin sinonim sebagai aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana berkongsi perjalanan spiritual, cabaran kerjaya serta komitmennya dalam misi kemanusiaan antarabangsa.
Dikenali suatu ketika dahulu dengan imej berani dan penuh warna dalam industri muzik tempatan, Zizi kini tampil dengan sisi yang lebih tenang, matang dan berpaksikan nilai-nilai spiritual.
Dalam temu bual eksklusif ini, beliau berkongsi proses hijrah, perjuangan istiqamah serta detik mencabar yang mengubah cara beliau melihat kehidupan.
Bercakap tentang perjalanan hijrahnya, Zizi mengakui istiqamah merupakan antara cabaran paling besar yang perlu dihadapi.
“Sebenarnya istiqamah ini memang sangat mencabar. Kadang-kadang kita rasa kuat, kadang-kadang kita rasa lemah. Tetapi apa yang saya belajar, jangan pernah berhenti berdoa,” katanya kepada Muslimah.
Menurutnya, kekuatan untuk terus berada di jalan yang diredai Allah datang daripada pergantungan penuh kepada Tuhan.
“Kita kena sentiasa minta kepada Allah sebab Dia yang pegang hati kita. Sentiasa perbaharui niat bahawa kita hidup kerana Allah, bekerja kerana Allah dan berhijrah juga kerana Allah,” katanya.
Selain doa, Zizi turut menekankan kepentingan persekitaran yang positif.
“Circle sangat penting. Kita kena pilih kawan-kawan yang sama-sama mahu mencari reda Allah. Apabila kita berada dalam lingkungan yang baik, insyaAllah kita akan lebih kuat,” kongsinya.
Cabaran kerjaya selepas hijrah
Bagi pelantun lagu Eh ini, perubahan dalam hidupnya turut memberi kesan kepada perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi.
Selepas berhijrah, beliau lebih berhati-hati dalam memilih karya dan pentas persembahan yang sesuai dengan prinsip hidupnya sekarang.
“Memang ada penapisan. Lagu yang saya akan rakam pun kami akan tengok dulu sama ada sesuai atau tidak.
‘Begitu juga dengan persembahan. Kami akan pertimbangkan sama ada acara itu sesuai atau tidak untuk saya buat.
“Kadang-kadang kita kena ingat ini adalah jalan yang Allah bagi untuk kita menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Anak kelahiran Sabah ini sentiasa mengingatkan diri rezeki bukan datang daripada manusia.
“Rezeki Allah yang pegang, bukan manusia. Rezeki Allah yang bagi, bukan manusia. Jadi, kita cuma perlu minta dekat Allah,” katanya.
Hijrah yang membawa ketenangan
Ditanya bagaimana beliau melihat dirinya selepas melalui proses hijrah, penyanyi bersuara serak basah ini mengakui kehidupannya kini terasa jauh lebih tenang.
“Saya tidak pandai definisikan diri secara spesifik. Tetapi apa yang saya boleh katakan, Zizi yang sekarang lebih tenang, lebih sabar dan lebih santai,” ujarnya sambil tertawa kecil.
Menariknya, hijrah juga membuka pintu baharu dalam hidupnya apabila beliau mula aktif sebagai aktivis kemanusiaan.
“Allah izinkan saya mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup iaitu bidang kemanusiaan. Bagi saya, itu satu jalan yang sangat indah yang Allah aturkan,” katanya positif.
Mengapa sanggup sertai misi berisiko tinggi?
Antara keputusan paling berani yang pernah dibuat oleh Zizi adalah menyertai misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kepada rakyat Palestin, tahun lalu.
Beliau mengakui bahawa keputusan itu dibuat dengan penuh keikhlasan tanpa banyak pertimbangan.

Enggan berfikir panjang, Zizi terus menyatakan kesediaannya kepada pihak penganjur.
“Sejujurnya, semasa saya mula tahu tentang Global Sumud Flotilla, saya rasa ini satu peluang yang sangat besar untuk membantu saudara kita di Palestin.
“Saya terus cakap kepada pihak penganjur, jangan lupa masukkan nama saya,” katanya.
Walaupun menyedari risiko besar yang mungkin dihadapi termasuk ancaman serangan atau penculikan, beliau tetap nekad.
“Apa yang mendorong saya sebenarnya adalah semangat orang Palestin yang kental berjuang.
“Saya sudah tidak sanggup melihat video anak-anak dibom, kehilangan keluarga dan hidup tanpa tempat tinggal.
“Jadi, saya rasa ini tanggungjawab saya juga. Tanggungjawab sebagai umat Islam untuk membela bumi Palestin, kerana ia adalah tanah wakaf untuk seluruh umat Islam yang ada di dunia ini,” katanya.
Mengatasi rasa takut
Sudah tentu keputusan menyertai misi kemanusiaan di kawasan konflik menimbulkan rasa gentar di hatinya.
Namun kata suri hati kepada pelakon, Yusof Bahrin ini, ketakutan itu hilang apabila beliau memikirkan penderitaan rakyat Gaza.
Menurutnya, rakyat Palestin yang hidup dalam keadaan serba kekurangan tetap kuat dan teguh mempertahankan tanah air mereka.
“Saya fikir, kenapa saya perlu takut sedangkan mereka di sana sedang berjuang setiap hari?”
“Mereka tiada apa-apa, tetapi mereka ada Allah,” katanya.
Zizi juga berkongsi mengenai zikir Hasbunallah wa ni’mal wakil sering menjadi pegangan sepanjang perjalanan tersebut.
Pengalaman paling menyentuh hati
Sepanjang terlibat dalam misi kemanusiaan, Zizi mengakui banyak pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
Antara yang paling tidak dapat dilupakan saat berdepan tentera Israel ketika misi tersebut.
“Walaupun kami diserang beberapa kali sehinggalah kami diculik dan berhadapan dengan tentera Israel masa itu, rasa takut saya hilang.
“Masa itu saya rasa “Inilah dia orang yang paling kejam di atas muka bumi ini, Ya Allah.”
“Pada saat itu saya rasa sangat dekat dengan Allah. Saya sedar saya tidak ada sesiapa lagi selain Dia,” katanya mengimbas kembali momen tersebut.
Malah, semangat peserta-peserta lain dari pelbagai negara turut membakar semangatnya untuk terus berjuang demi agama.
“Mereka semua sangat kuat. Mereka tidak menangis atau mengalah. Mereka terus bersuara untuk Palestin,” katanya yang berhasrat mahu menyertai lagi misi berkenaan.
Pengalaman tersebut membuka matanya mengenai perjuangan Palestin yang sebenarnya melibatkan seluruh manusia yang mempunyai hati dan empati.
Jalan kemanusiaan yang mengubah hidup
Bagi Zizi, kerja-kerja kebajikan memberi perspektif baharu tentang kehidupan.
Beliau mengakui misi kemanusiaan membuatkan dirinya lebih bersyukur dengan segala nikmat yang dimiliki.
Melihat kesusahan saudara sesama Islam yang lain membuatkan beliau belajar untuk tidak mudah mengeluh.
“Apabila kita melihat sendiri keadaan saudara kita di Syria atau tempat lain, kita sedar sebenarnya kita hidup sangat selesa.
“Mereka hidup dalam khemah, makanan pun kadang-kadang cuma roti. Tetapi mereka tetap bersyukur.
“Allah izinkan saya masuk ke dalam dunia kemanusiaan ini sebagai salah satu cara juga untuk saya kekal istiqamah supaya saya lebih dekat dengan Allah,” katanya.
Tanggungjawab sebagai figura awam
Sebagai selebriti, Zizi percaya beliau mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan platformnya bagi menyebarkan kesedaran.
“Saya rasa ini tanggungjawab saya untuk bercakap tentang isu kemanusiaan dan saudara-saudara Islam kita yang ditindas.
“Misi-misi kemanusiaan ini adalah pilihan peribadi saya untuk mendidik diri menjadi insan yang lebih bersyukur,” katanya.
Melalui media sosial dan aktiviti kemanusiaan, Zizi berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk turut membantu golongan yang memerlukan.
Rezeki selepas hijrah
Ramai yang tertanya-tanya bagaimana perubahan gaya hidup selepas hijrah mempengaruhi rezeki dan kerjayanya.
Bagi Zizi, jawapannya mudah iaitu ketenangan.
“Alhamdulillah, walaupun ada banyak ujian, hati saya rasa lebih tenang,” katanya.
“Allah itu Maha Baik. Setiap ujian pasti ada jalan keluar dan hikmah di sebaliknya,” katanya.
Ketika ditanya tentang fokus hidupnya kini, Zizi tidak menyebut tentang kejayaan atau pencapaian besar.
Sebaliknya, beliau hanya mempunyai satu matlamat utama.
“Menjadi hamba Allah yang taat dan sentiasa mencari reda Allah. Begitu juga dengan kerjaya, saya selalu minta semoga Allah berkati setiap langkah saya, menjaga dan melindungi saya.
Fokus saya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik, taat dan tenang,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini pula, kehidupan Zizi kini bergerak antara dunia seni dan misi kemanusiaan.
Walaupun masih aktif dalam bidang muzik, fokusnya semakin berkembang ke arah karya yang membawa mesej lebih besar.
“Alhamdulillah, saya ada buat rakaman sebuah lagu untuk Palestin yang akan menjadi lagu tema bagi Global Sumud Flotilla. Selain itu, saya juga sedang dalam proses menghasilkan single terbaru,” katanya.
Namun, bagi Zizi, perjalanan seni kini bukan lagi sekadar soal populariti atau hiburan semata-mata. Ia menjadi medium untuk menyampaikan mesej kemanusiaan dan kesedaran kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, beliau juga aktif menyertai beberapa misi kemanusiaan ke luar negara. Antara destinasi yang pernah disertainya termasuk Syria dan Aceh, selain merancang untuk terlibat dalam lebih banyak misi bantuan pada masa depan.
“Insya-Allah, saya juga akan terus terlibat dengan misi-misi kemanusiaan lain. Doakan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Pesanan buat wanita yang ingin membantu orang lain
Di akhir perbualan, Zizi berkongsi pesan kepada wanita yang ingin terlibat dalam kerja-kerja kebajikan tetapi tidak tahu cara untuk bermula.
Menurutnya, amalan membantu orang lain sebenarnya boleh dimulakan daripada perkara-perkara kecil.
“Saya belajar daripada ibu saya sejak kecil. Ibu selalu masak dan suruh saya hantar makanan kepada jiran, masjid, kawan sekolah dan anak yatim.
“Jadi, benda itu yang saya simpan dan saya bawa sehingga ke hari ini. Sekiranya ada sahabat-sahabat wanita di luar sana yang ingin mencuba kerja-kerja amal, kita boleh sama-sama memulakan daripada rumah,” katanya.
Beliau percaya amalan kecil yang dilakukan secara berterusan mampu memberi impak besar kepada masyarakat.
Bagi Zizi, perjalanan hidup selepas hijrah bukan sekadar perubahan imej atau kerjaya.
Ia adalah perjalanan mencari makna sebenar kehidupan untuk menjadi manusia yang lebih bermanfaat kepada orang lain. – MUSLIMAH