Suri rumah boleh tuntut harta sepencarian

Isu pembahagian harta sepencarian sering kali menjadi perbalahan antara pasangan yang bercerai. 

Ramai wanita khususnya yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa tidak tahu mengenai hak tuntutan mereka selepas bercerai.

Suri rumah sebenarnya mempunyai hak menuntut harta sepencarian ketika bercerai walaupun tidak bekerja sepanjang tempoh perkahwinan.

Perunding keluarga Islam, Muhammad Aiman Mohamad Zulkifli, persepsi isteri tidak bekerja tidak layak menuntut harta tidak benar kerana mahkamah mengiktiraf sumbangan tidak langsung yang biasanya dinilai sekitar 30 peratus.

“Sumbangan ini terdiri daripada tugas mengurus rumah tangga, menjaga kebersihan kediaman agar nilainya tidak jatuh serta memastikan urusan domestik berjalan lancar sehingga memberi ruang dan ketenangan kepada suami untuk mencari rezeki.

“Pengorbanan meninggalkan kerjaya (kehilangan peluang pendapatan masa hadapan) pula diambil kira sebagai sumbangan yang lebih besar berbanding suri rumah biasa. 

“Jika isteri sempat menyumbang secara kewangan sebelum berhenti kerja, bahagian yang dituntut boleh meningkat lebih daripada kadar 30 peratus tersebut,” katanya kepada Muslimah.

Katanya, ramai terlepas pandang harta yang dimiliki suami atau isteri sebelum berkahwin juga boleh menjadi harta sepencarian. 

Syaratnya, harta itu mestilah diusahakan bersama dalam tempoh perkahwinan sama ada melalui penambahan nilai, pengubahsuaian atau bantuan pengurusan oleh pasangan.

“Harta yang masih dalam pinjaman juga tidak terlepas daripada tuntutan. Mahkamah boleh memerintahkan agar harta tersebut dijual.

“Hasil jualan itu kemudiannya digunakan untuk melunaskan baki hutang bank terlebih dahulu sebelum bakinya dibahagikan antara pihak-pihak mengikut kadar yang ditetapkan dalam perintah mahkamah,” katanya.

Tambahnya, setiap tuntutan berpandukan prinsip Al-Bayyinah al-mudda’ie wal-yamin ‘ala man ankara (bukti atas yang mendakwa) sehingga tidak akan jelas tuntutan jika tiada pembuktian jelas. 

“Setiap dakwaan perlu dikemukan bukti seperti resit, bukti pembayaran atau gambar. 

“Bukti-bukti ini seterusnya yang akan menentukan takat sumbang, sumbangan langsung dan tidak langsung,” tambahnya.

Menurutnya, tiada istilah “perjanjian pra-perkahwinan” dalam Mahkamah Syariah tetapi perjanjian pertunangan atau persetujuan bersama. Oleh itu, setiap rekod transaksi sepanjang perkahwinan amat penting untuk bukti pada masa hadapan. 

“Setiap rekod pembayaran perlu disimpan dengan baik. Penyimpanan rekod aset juga adalah lebih baik jika berlaku perceraian nanti,” katanya.-Muslimah