Suami bukan sekadar pencari nafkah, tetapi juga pemimpin yang bertanggungjawab membimbing keluarga ke arah kehidupan yang diredai Allah.
Namun, realitinya tidak semua isteri menikmati peranan itu sepenuhnya. Ada dalam kalangan isteri yang terpaksa memendam rasa apabila suami mengabaikan solat, sedangkan itulah tiang utama dalam kehidupan seorang Muslim.
Situasi ini bukan sahaja mengundang keresahan, malah memberi kesan mendalam kepada emosi seorang isteri.
Menurut Pegawai Sumber Manusia Yayasan Maghfirah, Ustazah Maryam Mohd Din, perkara ini bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat sekaligus menyebabkan sesebuah keluarga sukar mencapai ketenangan yang sebenar.
“Tidak solat bukan sekadar kurang amalan, tetapi memberi kesan langsung kepada ketenteraman jiwa dalam rumah tangga,” katanya.
Tambahnya, peranan suami sebagai imam bukan hanya pada lafaz tetapi perlu dibuktikan melalui amalan seharian.
“Apabila solat diabaikan, ia seolah-olah asas dalam rumah tangga itu sendiri menjadi rapuh.
“Isteri akan resah, malah anak-anak juga kehilangan contoh terbaik dalam kehidupan,” ujarnya.
Ujian ini amat berat buat seorang isteri kerana paling hampir dengan suami, namun tidak mampu memastikan pasangan menunaikan rukun Islam kedua itu.
Dalam konteks ini, isteri disarankan menggunakan pendekatan berhikmah. Teguran boleh dimulakan dengan cara lembut seperti mengajak solat bersama atau sekadar mengingatkan waktu azan telah masuk.
“Bukan mudah untuk menegur suami, lebih-lebih lagi jika dia seorang yang cepat marah atau mempunyai ego yang tinggi,” katanya.
Ada suami yang rasa egonya tercabar apabila ditegur, sekali gus menyebabkan usaha menasihati menjadi lebih mencabar.
Justeru, setiap teguran disampaikan dengan penuh kelembutan tanpa paksaan, marah atau tengkingan yang tidak perlu.
Pemilihan masa yang sesuai juga memainkan peranan penting agar nasihat dapat diterima dengan baik.
“Teguran tentang solat bukan kerana ingin memaksa, tetapi kerana sayang. Kita mahu sama-sama bahagia bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan usaha tidak terhenti pada teguran semata-mata. Pendekatan lain seperti memberi galakan atau hadiah juga boleh membantu melembutkan hati pasangan.
Selain itu, doa menjadi senjata paling kuat bagi seorang isteri.
“Bangunlah pada waktu malam, mengadu kepada Allah, sebut nama suami dan mohon agar hatinya dilembutkan untuk menunaikan solat,” katanya.
Harapannya semoga isteri tidak berputus asa menghadapi ujian tersebut.
“Jangan pernah berhenti berharap. Hidayah milik Allah dan tugas kita hanyalah terus berusaha serta berdoa,” katanya.-Muslimah