Setiap wanita pasti inginkan penampilan yang cantik dan kemas sepanjang hari, justeru solekan menjadi rutin harian.
Bagi wanita yang aktif dan sentiasa sibuk, rasa penat pada penghujung hari sering menjadi alasan untuk mengabaikan rutin mencuci muka.
Lebih-lebih lagi apabila pulang lewat malam, ada yang terus tertidur tanpa menanggalkan solekan dan tanpa sedar, ia boleh menjadi tabiat yang berulang.
Walaupun nampak seperti perkara kecil, tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan besar dalam jangka masa panjang.
Tanpa penjagaan yang betul, kulit bukan sahaja mudah bermasalah, malah boleh kehilangan seri semula jadi.
Berikut antara kesan buruk tidur dengan solekan serta langkah mudah untuk mengelakkannya.
Pori tersumbat dan jerawat mudah naik
Solekan yang tidak dibersihkan akan bercampur dengan minyak semula jadi, peluh dan kotoran sepanjang hari.
Apabila dibiarkan semalaman, liang pori menjadi tersumbat sekaligus membuka ruang kepada pembentukan jerawat.
Dalam sesetengah kes, bakteria juga boleh membiak dan menyebabkan keradangan yang lebih teruk. Pastikan wajah dibersihkan sepenuhnya sebelum tidur bagi mengelakkan masalah ini.
Kulit kusam dan tidak bermaya
Ketika tidur, kulit sepatutnya menjalani proses pembaharuan sel. Namun, lapisan solekan yang masih melekat akan menghalang proses ini, menyebabkan sel kulit mati terkumpul di permukaan.
Akibatnya, kulit kelihatan kusam, tidak segar dan hilang seri. Membersihkan wajah membantu kulit ‘bernafas’ dan menyokong proses pemulihan semula jadi.
Penuaan pramatang
Tidur dengan solekan boleh mempercepatkan kemunculan tanda penuaan seperti garis halus dan kedutan.
Ini kerana sisa kosmetik mengganggu penghasilan kolagen serta proses pembaikan kulit.
Dalam jangka panjang, kulit akan kehilangan keanjalan dan nampak lebih tua daripada usia sebenar.
Rutin pembersihan yang konsisten mampu membantu mengekalkan kulit yang lebih anjal dan sihat.
Kulit sensitif dan mudah kemerahan
Bahan dalam kosmetik yang dibiarkan terlalu lama boleh menyebabkan iritasi, terutama bagi kulit sensitif.
Kulit mungkin menjadi merah, pedih atau gatal akibat tekanan pada lapisan perlindungan semula jadi. Gunakan produk pembersih yang lembut dan sesuai dengan jenis kulit.
Masalah pada bahagian mata
Maskara dan celak mata yang tidak dibersihkan boleh mengganggu kawasan mata yang sensitif. Sisa produk boleh masuk ke dalam mata atau menyumbat folikel bulu mata yang menyebabkan mata merah, berair atau bengkak.
Tekstur kulit jadi kasar
Sesetengah produk solekan mengandungi bahan seperti silikon yang boleh menyumbat liang pori jika tidak dibersihkan dengan baik. Lama-kelamaan, kulit menjadi kasar dan tidak sekata. Membersihkan wajah setiap malam membantu mengekalkan tekstur kulit yang lebih halus.
Jika terlalu penat, sekurang-kurangnya pastikan wajah dibersihkan agar kulit dapat berehat dengan baik.-Muslimah