Menjelang musim perayaan, kepulangan ke kampung halaman pastinya menjadi saat yang paling dinanti-nantikan.
Rumah kampung yang meriah dengan kehadiran ahli keluarga memberi suasana bahagia.
Namun, ia turut menimbulkan dilema tersendiri, khususnya dalam kalangan Muslimah apabila melibatkan pembahagian bilik tidur.
Lebih-lebih lagi apabila ruang rumah terhad, anak-anak yang telah berkahwin cenderung mahukan bilik sendiri, manakala anak dara pula terpaksa mengalah, tidur di ruang tamu atau di luar bilik.
Perkara ini turut dibincangkan dalam kalangan muslimah di aplikasi Threads yang berkongsi situasi sama.
Menurut mereka, anak yang sudah berkahwin sering menuntut privasi, sedangkan anak dara perlu menyesuaikan diri walaupun masih perlu menjaga aurat.
“Bilik utama sepatutnya diberikan kepada anak dara, keutamaan itu bukan soal ego, tetapi demi menjaga aurat serta memberi keselesaan kepada mereka,” tulis salah seorang pengguna.
Hakikatnya, isu bilik bukan sekadar masalah ruang, tetapi turut berkait rapat dengan adab dalam Islam.
Dalam keadaan rumah yang terhad, wanita yang masih belum berkahwin sering terpaksa beralah, sedangkan keperluan menjaga aurat tetap perlu diutamakan.
Solusi praktikal semasa raya
Bagi keluarga yang berdepan kekangan ruang, beberapa langkah boleh dipertimbangkan bagi memastikan keselesaan semua pihak.
Pembahagian bilik yang terancang mampu membantu mengekalkan keharmonian keluarga, terutama apabila ramai ahli berkumpul dalam satu masa.
Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah menempatkan golongan wanita adik-beradik dan ipar dalam satu bilik, manakala lelaki tidur di ruang lain seperti ruang tamu atau bilik berasingan.
Justeru, aurat dapat dijaga dengan lebih baik, di samping mewujudkan suasana yang lebih selesa.
Selain itu, keluarga juga boleh mempertimbangkan untuk menyewa rumah inap berdekatan sebagai ruang tambahan atau menetapkan satu bilik khas untuk wanita setiap kali pulang ke kampung.
Sistem pengggiliran bilik juga boleh diamalkan supaya setiap ahli keluarga berpeluang merasai keselesaan secara bergilir.
Bagi yang lebih kreatif, penyediaan khemah kecil untuk anak-anak juga boleh dijadikan alternatif ruang tidur yang praktikal dan menyeronokkan.
Begitupun, realitinya masih ramai wanita yang terpaksa tidur di luar bilik. Malah, ada yang perlu bertudung ketika tidur demi menjaga batas aurat.
Situasi ini, walaupun sering dianggap biasa, boleh menimbulkan rasa kurang selesa jika berlarutan setiap kali raya.
Justeru, perancangan awal dan sikap bertolak ansur amat penting bagi mengelakkan salah faham, sekali gus memastikan semua ahli keluarga berasa dihargai dan selesa sepanjang sambutan raya.
Perspektif Islam mengenai aurat
Dalam Islam, menjaga aurat antara bukan mahram adalah wajib. Pengasingan tempat tidur antara lelaki dan perempuan merupakan langkah yang lebih wajar, terutama apabila melibatkan anak dara atau wanita dalam keluarga.
Wanita sama ada bujang atau berkahwin tetap memerlukan ruang yang selesa dan terpelihara.
Tidak menjadi kesalahan sekiranya sekali-sekala pasangan suami isteri beralah dengan tidur di ruang lain demi memberi keutamaan kepada Muslimah yang belum berkahwin.
Malah, ia mencerminkan kebijaksanaan dalam menjaga adab serta mengelakkan tekanan dalam suasana keluarga yang ramai.
Hari Raya sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan, bukan menjadi medan persaingan untuk mendapatkan bilik tidur. Sedikit pengorbanan dan pertimbangan mampu mewujudkan suasana yang lebih harmoni.
Mungkin tahun ini, cuba beri ruang kepada yang lebih memerlukan dan rasai sendiri suasana raya yang lebih tenang, selesa dan bermakna.-Muslimah