Menjelang Syawal, suasana membeli-belah semakin meriah.
Pusat beli-belah dan platform dalam talian dipenuhi pelbagai promosi, sementara orang ramai mula sibuk mencari baju raya baharu, menyediakan juadah istimewa serta merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.
Bagi kebanyakan keluarga, inilah waktu yang dinanti-nantikan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
Namun di sebalik kemeriahan itu, tidak dapat dinafikan persiapan raya juga memerlukan perbelanjaan yang besar.
Ada yang sanggup berbelanja di luar kemampuan semata-mata mahu memastikan sambutan raya kelihatan sempurna di mata orang lain.
Lebih membimbangkan, ada yang akhirnya terpaksa membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit bagi memenuhi pelbagai kehendak tersebut.
Hakikatnya, selepas kemeriahan raya berlalu, ada yang terpaksa menanggung beban kewangan berbulan-bulan lamanya hanya kerana mahu tampil bergaya untuk tempoh yang singkat.
Sederhana lebih tenang
Menurut perkongsian pencipta kandungan kewangan, Syikin Dahlan, sambutan raya sebenarnya boleh diraikan dengan lebih tenang apabila dilakukan secara sederhana dan mengikut kemampuan sendiri.
“Raya yang sederhana lebih tenang kerana kita tidak perlu berhutang hanya untuk bergaya.
“Duit yang ada boleh digunakan secara bijak dengan mengutamakan keperluan, bukan kehendak,” katanya.
Tambahnya, kebelakangan ini trend beli sekarang bayar kemudian (BNPL) semakin popular dalam kalangan pengguna.
Walaupun kemudahan ini dapat membantu mengurus aliran tunai, ia juga berpotensi menyebabkan seseorang berbelanja melebihi kemampuan sebenar, terutama ketika membuat persiapan raya.
Ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan sambutan raya kelihatan meriah, sedangkan kegembiraan sebenar Aidilfitri bukan diukur melalui barangan yang dibeli.
Katanya, raya sebenarnya tidak perlu dilakukan secara berlebihan untuk merasai kemeriahan Aidilfitri.
“Baju raya cukup sepasang, kuih raya sekadar yang mampu dan duit raya pula ikut bajet.
“Anak-anak tetap gembira kerana yang mereka mahukan sebenarnya perhatian dan kasih sayang, bukan jumlah duit raya yang banyak,” katanya.
Tambahnya, ramai ibu bapa sering beranggapan anak-anak mengharapkan kemewahan ketika hari raya. Hakikatnya, bagi mereka kegembiraan sebenar adalah apabila dapat meluangkan masa bersama keluarga.
Menurut Syikin Dahlan, nilai sebenar Aidilfitri bukan terletak pada kemewahan atau jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan.
Sebaliknya, ia adalah peluang untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga yang mungkin jarang dapat berkumpul sepanjang tahun.
“Raya adalah masa untuk mengeratkan silaturrahim, ziarah keluarga, bermaafan dan berkongsi cerita jauh lebih bermakna daripada sekadar menunjuk-nunjuk harta,” katanya.
Kehidupan sederhana bukan sahaja membantu individu mengurus kewangan dengan lebih baik, malah memberi ketenangan selepas Syawal.
“Bila kita hidup sederhana, hati lebih tenang dan kewangan lebih terjaga. Selepas raya pun kita tidak terbeban dengan hutang,” katanya.
Dalam Islam, perkara yang lebih utama sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal adalah menyempurnakan ibadah.
Antaranya termasuk menunaikan puasa Ramadan, bersahur, berbuka serta menunaikan zakat fitrah sebelum tibanya Hari Raya.
Perkara-perkara ini jauh lebih penting daripada terlalu memikirkan soal pakaian baharu atau persiapan rumah yang berlebihan.
“Persiapan raya penting, tetapi jangan sampai kita terlalu sibuk membeli-belah sehingga terlupa perkara yang lebih utama dalam bulan Ramadan,” katanya.
Jangan bandingkan kehidupan dengan orang lain
Satu lagi punca tekanan menjelang Hari Raya ialah sikap membandingkan diri dengan orang lain.
Ada yang melihat jiran membeli langsir baharu, menukar perabot atau menyediakan pelbagai jenis kuih raya lalu merasakan mereka juga perlu melakukan perkara yang sama.
“Setiap keluarga ada keadaan kewangan yang berbeza, tidak perlu ikut apa yang orang lain buat jika ia di luar kemampuan kita,” katanya.
Urus perbelanjaan dengan bijak supaya kehidupan selepas raya tidak terbeban dengan masalah kewangan.
Sederhana bukan bererti kurang
Walaupun sambutan raya dilakukan secara sederhana, kegembiraan itu tetap boleh dirasai.
Kadangkala perkara paling sederhana seperti berkumpul bersama keluarga, memberi duit raya kepada anak kecil dan menziarahi ibu bapa sudah cukup memberikan kebahagiaan yang tidak ternilai.
“Raya yang meriah dan berkat bukan yang paling mahal, tetapi yang penuh dengan rasa syukur dan kebersamaan,” katanya.
Akhirnya, raya yang diraikan mengikut kemampuan sendiri bukan sahaja lebih tenang, malah membantu memastikan kehidupan selepas Syawal dapat diteruskan tanpa tekanan kewangan.
“Sederhana tidak bermakna kurang. Ia sebenarnya mengajar kita untuk lebih menghargai apa yang kita ada,” katanya.– Muslimah