Tragedi lima sekeluarga: Pertelingkahan subuh hari punca bunuh ahli keluarga, suspek tamatkan riwayat sambil peluk anak bongsu

Suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga apabila lima sekeluarga ditemui maut di sebuah rumah di Taman Cherating Damai baru-baru ini.

Perkongsian pengurus jenazah, Afiz Ayub, di media sosial menceritakan pengalamannya bersama pasukan menguruskan jenazah suspek lelaki yang dipercayai menjadi punca utama kejadian tersebut.

Kronologi kejadian

Suspek, lelaki berusia 32 tahun berasal dari Pahang, sebelum ini berkerja sebagai pemandu lori di Selangor dan baru pulang ke kampung halaman kira-kira sebulan lalu.

Difahamkan, suspek juga baru memulakan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan kira-kira seminggu sebelum tragedi.

Menurut waris dan jiran tetangga, suspek dikenali sebagai seorang yang peramah, baik dan tidak mempunyai masalah kewangan.

Malah, beliau dikatakan baru menjelaskan hutang pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sempat bertanya khabar ahli keluarga melalui mesej.

Namun, menurut Afiz, suspek dan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, ada perbalahan mengenai isu berpindah ke Pahang.

Pada subuh hari kejadian, pertelingkahan antara suspek dan isterinya berlarutan sehingga suspek bertindak menikam isterinya di bilik tidur.

Kekecohan itu mengejutkan ibu suspek, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, tahun dan adik lelakinya yang turut tinggal serumah.

Ibu suspek dikatakan cuba menenangkan keadaan dan meminta anaknya mengucap sebelum turut diserang di dapur.

Ibunya juga sempat menyuruh adik suspek keluar mendapatkan bantuan daripada bapa saudara mereka yang tinggal berhampiran.

Tikam anak di hari lahir

Sekitar pukul 7 pagi, adik suspek bersama bapa saudara yang baru tiba di kediaman itu mendapati kesemua mangsa tidak lagi bernyawa.

Suspek dipercayai mengakhiri hidupnya di dalam bilik tidur berhampiran isterinya.

Mayatnya ditemui dalam keadaan memeluk anak kecil berusia dua tahun, manakala seorang lagi anak berusia lima tahun terbaring di depannya.

Kesemua mangsa dipercayai maut akibat tikaman di leher menggunakan pisau dapur.

Lebih menyedihkan, si kecil berusia dua tahun iaitu Sumayyah Humairah meninggal dunia di tangan bapa sendiri pada hari ulang tahunnnya.

Kata Afiz, tiada campur tangan pihak ketiga, unsur bahan terlarang atau rekod masalah mental melibatkan suspek.

Kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh singkat akibat kegagalan mengawal emosi ketika pertelingkahan.

Kelima-lima jenazah dihantar ke Tanah Perkuburan Islam Cherating sekitar pukul 6.30 petang dan dikebumikan secara berasingan bagi menjaga maruah keluarga.-Muslimah