Siapa paling sibuk di bulan Ramadan?

Bulan Ramadan sering digambarkan sebagai bulan ibadah, ketenangan jiwa dan kebersamaan keluarga.

Namun, di sebalik suasana penuh keberkatan itu, ada satu figura yang hampir tidak pernah berhenti bergerak dari sebelum fajar hingga larut malam.

Siapa lagi kalau bukan ibu. Bagi kebanyakan keluarga, ibulah individu paling sibuk sepanjang Ramadan yang memastikan segala keperluan rumah tangga berjalan lancar agar semua ahli keluarga dapat menunaikan ibadah dengan selesa.

Seawal dinihari, ibu sudah bangun menyediakan sahur. Dalam keadaan mata masih berat dan tubuh belum cukup rehat, beliau ke dapur menyediakan makanan berkhasiat agar keluarga mempunyai tenaga menjalani ibadah puasa sepanjang hari.

Selepas sahur, ibu masih perlu mengemas dapur, memastikan anak-anak bersedia ke sekolah dan suami ke tempat kerja sebelum memulakan rutin hariannya sendiri.

Waktu siang pula bukanlah masa untuk berehat sepenuhnya. Ramai ibu tetap menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja, mengurus rumah, membantu pembelajaran anak-anak serta menyelesaikan pelbagai urusan harian.

Walaupun berpuasa dan menahan keletihan, tugas tetap berjalan seperti biasa tanpa kompromi.

Menjelang petang, kesibukan kembali memuncak. Ketika orang lain mula berehat menunggu waktu berbuka, ibu kembali ke dapur menyediakan juadah berbuka puasa. Otaknya ligat memikirkan menu untuk disajikan kepada anak-anak dan suami.

Dari menyediakan minuman, lauk-pauk, hinggalah memastikan hidangan seimbang dan mencukupi, semuanya dilakukan dengan penuh kasih sayang.

Selepas berbuka, tugas belum selesai. Dapur perlu dikemas, pinggan mangkuk dibasuh dan persiapan untuk malam hari diteruskan.

Malam Ramadan yang sepatutnya diisi dengan ibadah juga menuntut pengorbanan seorang ibu.

Dalam keletihan, beliau tetap berusaha menunaikan solat tarawih, melayani keperluan anak-anak dan merancang persediaan sahur untuk keesokan hari. Kitaran ini berulang setiap hari sepanjang Ramadan.

Hakikatnya, pengorbanan ibu sering tidak disedari kerana ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk seluruh keluarga berkongsi tanggungjawab agar ibu juga berpeluang menikmati keindahan ibadah tanpa keletihan melampau.

Menghargai usaha ibu, membantu kerja rumah dan mengucapkan terima kasih adalah langkah kecil yang membawa makna besar.

Sesungguhnya, di sebalik hidangan sahur dan juadah berbuka yang terhidang setiap hari, terselit kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu yang menjadikan Ramadan lebih bermakna bagi seluruh keluarga.-Muslimah