Shereen Aziz cipta sejarah di Wales, tegaskan Muslimah boleh maju jika diberi peluang

Shereen Aziz Williams melakar sejarah apabila dicalonkan sebagai warga Singapura pertama menyandang jawatan Ketua Pegawai Kerajaan bagi Gwent di Wales, United Kingdom.

Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan secara peribadi, malah membawa makna besar buat representasi Muslimah di peringkat antarabangsa.

Memetik laporan BERITA Medicorp, Shereen secara rasmi akan memegang jawatan tersebut selepas menerima watikah pelantikan daripada Raja Charles III sekitar Mac 2026.

Bagi Shereen, pencalonan ini membuktikan Muslimah mempunyai keupayaan untuk mara jauh apabila diberikan peluang dan kepercayaan.

“Bagi saya sebagai seorang warga Singapura dan lebih-lebih lagi sebagai wanita Melayu, saya bangga dapat mengetengahkan masyarakat saya pada tahap ini.

“Wanita Melayu/Islam boleh maju apabila diberikan peluang. Wales telah memberikan saya banyak peluang dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya.

Sebagai Ketua Pegawai Kerajaan, peranan utama Shereen menyokong institusi Diraja dan badan kehakiman, membantu usaha pencegahan jenayah, menyokong perkhidmatan kecemasan serta mengangkat peranan sektor sukarelawan dan badan amal.

Sejak berpindah ke Britain pada 2005, Shereen aktif dalam perkhidmatan awam dan kerja-kerja komuniti di Wales, khususnya dalam bidang keharmonian masyarakat, dialog antara agama serta kesaksamaan sosial.

Beliau mengimbau kembali satu peristiwa ketika menjadi sukarelawan di sebuah Sekolah Islam Sabtu di Wales, apabila seorang pelajar perempuan bertanya sama ada seorang Muslim boleh menjadi High Sheriff.

“Jawapannya ialah sudah tentu boleh. Saat saya menerima pencalonan ini, detik itu terlintas semula.

“Saya menerimanya bukan hanya untuk diri saya tetapi juga untuk kanak kanak serta wanita muda di Wales yang kelihatan seperti saya dan berkongsi agama Islam yang sama,” katanya.

Kini, Shereen merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Demokrasi dan Sempadan Cymru serta Setiausaha kepada Suruhanjaya Sempadan untuk Wales.

Beliau mengetuai beberapa projek penting termasuk Kajian Semula Kawasan Parlimen 2023 dan kajian pertama kawasan pilihan raya Senedd menjelang Pilihan Raya 2026.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai individu pertama di Wales yang berjaya melaksanakan pembaharuan sempadan pilihan raya bagi kerajaan tempatan, Parlimen Wales dan Parlimen United Kingdom.

Sebelum itu, Shereen berkhidmat selama sedekad dalam kerajaan tempatan Newport dan Monmouthshire, dengan fokus kepada keharmonian masyarakat, kesaksamaan serta pencegahan ekstremisme.

Pelantikan rasmi sebagai Ketua Pegawai Kerajaan akan dimuktamadkan dalam upacara Diraja ‘pricking the bodkin’ pada pertengahan Mac 2026, diikuti majlis mengangkat sumpah pada awal atau pertengahan April.

Upacara ‘pricking the bodkin’ ialah tradisi Diraja di mana Raja Charles III akan menandakan nama calon High Sheriff menggunakan jarum khas sebagai simbol pelantikan rasmi.

“Raja biasanya mengadakan upacara ini pada pertengahan Mac, jadi saya dijangka mengangkat sumpah pada sekitar awal hingga pertengahan April,” katanya.

Selain itu, beliau juga memberi perhatian kepada pemilihan pakaian rasmi yang mencerminkan identiti dan warisan Melayu.

“Saya mahu menampilkan warisan Melayu saya. Saya bekerjasama dengan Ratianah Kebaya untuk menghasilkan pakaian rasmi Ketua Pegawai Kerajaan yang ditempah khas menggunakan baldu gelap, renda dan butang ‘steel cut’. Saya juga masih perlu menyiapkan topi dengan bulu burung unta,” katanya.