Senyuman wanita sering dikaitkan dengan kelembutan, keramahan dan ketenangan.
Namun di sebalik senyuman sebenarnya tersembunyi satu kekuatan.
Kajian saintifik membuktikan senyuman bukan sekadar bahasa tubuh, malah berfungsi sebagai mekanisme semula jadi yang mampu mengurangkan tekanan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada individu di sekeliling.
Daripada sudut psikologi dan neurosains, apabila seseorang tersenyum, otak akan bertindak balas dengan merembeskan hormon yang berkait rapat dengan kesejahteraan emosi.
Antaranya endorfin yang membantu mengurangkan rasa sakit dan tekanan, dopamin yang mencetuskan perasaan gembira serta serotonin yang berperanan dalam menstabilkan emosi.
Menariknya, otak tidak membezakan sama ada senyuman secara spontan atau disengajakan.
Kedua-duanya tetap memberi kesan positif, seolah-olah tubuh ‘dipujuk’ untuk berasa lebih tenang.
Keberkesanan senyuman ini turut disokong oleh dapatan kajian dari University of Kansas.
Penyelidikan tersebut mendapati individu yang tersenyum ketika berada dalam situasi mencetuskan tekanan menunjukkan degupan jantung yang lebih stabil, tahap stres yang lebih rendah serta pemulihan emosi yang lebih cepat.
Ini membuktikan bahawa pergerakan fizikal senyuman mampu mempengaruhi keadaan dalaman seseorang, walaupun ketika minda berada dalam tekanan.
Dalam konteks sosial pula, senyuman wanita sering ditafsirkan sebagai lebih tulen dan menenangkan.
Kajian psikologi sosial menunjukkan wanita secara semula jadi memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, terutamanya memahami dan memberi tindak balas emosi orang lain.
Justeru, senyuman wanita lebih mudah mencetuskan rasa selamat, membina kepercayaan dan meredakan ketegangan dalam hubungan interpersonal.
Peranan senyuman wanita jelas kelihatan dalam pelbagai situasi harian.
Senyuman seorang ibu mampu menenangkan anak yang resah, senyuman di tempat kerja dapat meredakan suasana tegang, manakala senyuman seorang rakan memberi rasa difahami tanpa perlu banyak kata.
Kajian dari Harvard Medical School turut menyatakan interaksi sosial positif seperti ini membantu menurunkan paras hormon stres kortisol, sekali gus menyokong kesihatan emosi dan mental.
Bagi wanita sendiri, senyuman bukan sekadar hadiah untuk orang lain. Ia juga menjadi alat penjagaan diri yang ringkas tetapi berkesan.
Senyuman membantu mengawal emosi, mengurangkan tekanan dalaman, meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan raut wajah lebih relaks.
Pakar kesihatan mental juga sering menggalakkan amalan tersenyum sebagai salah satu teknik pengurusan stres harian yang mudah diamalkan.-Muslimah