Rawat kulit, rambut rosak dengan empat bahan semula jadi ini

Di sebalik produk kecantikan mewah yang dipenuhi nama saintifik rumit, terdapat khazanah kecantikan yang telah lama terbukti keberkesanannya.

Dalam era di mana industri kecantikan global bernilai berbilion ringgit pula, ramai orang mula sanggup untuk menghabiskan ribuan ringgit mendapatkan rawatan kulit yang hanya boleh dirawat di rumah dengan bahan-bahan semula jadi.

Kunyit sebagai pencerah kulit

Kunyit atau Curcuma Longa merupakan salah satu bahan semula jadi paling berkuasa dalam dunia kecantikan dan kesihatan. 

Sebatian aktif bernama kurkumin yang terdapat dalam kunyit terbukti melalui pelbagai kajian saintifik memiliki sifat anti-radang dan antioksidan di mana ia berupaya menghalang pengeluaran melanin berlebihan punca hiperpigmentasi dan kehitaman kulit.

Kunyit turut berfungsi sebagai bahan aktif  lembut yang membantu mengangkat sel-sel kulit mati, merangsang pertumbuhan sel baru dan menjadikan ton kulit lebih sekata.

Penggunaan kunyit untuk kecantikan sangat mudah dan praktikal. Ia boleh digunakan dalam bentuk serbuk atau dicampur dengan bahan lain seperti susu, yogurt, madu atau air mawar untuk dijadikan masker muka. 

Daun sirih antiseptik semula jadi

Daun sirih mengandungi antiseptik semula jadi yang sangat berkesan merawat luka. 

Rebusan daun sirih telah lama digunakan untuk membersihkan luka, mengatasi keputihan dan merawat jerawat.

Kajian membuktikan daun sirih mengandungi Chavicol yang mampu membunuh bakteria penyebab jerawat dengan lebih lembut berbanding Benzoyl Peroxide yang terdapat dalam  produk komersial. 

Air rebusan daun sirih pula sesuai dijadikan toner kulit bagi  kulit sensitif yang mudah meradang.

Madu Kelulut pelembap melawan bakteria

Madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah tanpa sengat rahsia kecantikan masyarakat Melayu tradisional yang kini menjadi tumpuan penyelidikan. 

Kandungan antioksidannya lebih tinggi daripada madu biasa menjadikannya pelembap semula jadi yang juga mampu merawat luka dan melawan bakteria.

Berbeza dengan masker kulit yang lain, madu kelulut memberikan kelembapan mendalam tanpa menyumbatkan liang pori kulit. Ia sesuai untuk semua jenis kulit dari yang kering hingga berminyak.

Santan dan kelapa untuk rambut yang sihat

Santan dan kelapa merupakan pelembap rambut tradisional yang kini kembali popular dalam kalangan wanita. 

Berbeza dengan bahan silikon yang terdapat dalam kandungan produk rambut komersial, kelapa dan santan mempunyai bahan yang dikenali sebagai Asid Laurik yang bertindak sebagai pelembap semula jadi yang mampu menyerap ke dalam setiap helai rambut.

Urutan rambut menggunakan minyak kelapa juga semakin popular di beberapa daerah pesisir pantai dan kini mula dijadikan sebagai rawatan istimewa yang mahal di spa-spa kecantikan.

Kecantikan semula jadi bukan hanya datang daripada produk mahal tetapi juga boleh diperoleh daripada bahan-bahan alam semula jadi  yang boleh didapati di dapur sahaja.-Muslimah