Permainan warna hiasi Ariani lebaran 2026

Warna bukan sekadar elemen visual, sebaliknya lambang emosi, kebersamaan dan kegembiraan.

Itulah naratif utama yang dibawa jenama fesyen Muslimah terkemuka, Ariani, menerusi penganjuran Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani 2026 yang berlangsung penuh gemilang di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini.

Menjelang Aidilfitri, Ariani terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri fesyen Muslimah dengan menampilkan lebih 400 rekaan hijab serta menyediakan sehingga 300,000 helai busana raya menerusi sub-jenama Ariani Ready-to-Wear (RTW), sekali gus memenuhi keperluan pelanggan pelbagai peringkat usia dan gaya.

Pertunjukan fesyen berprestij itu meraikan keindahan warna sebagai terjemahan keanggunan dan kebersamaan Aidilfitri, dipersembahkan menerusi rekaan hijab serta busana moden yang sarat dengan sentuhan elegan. 

Pentas peragaan menyaksikan lebih 100 rekaan dipamerkan, menampilkan motif alam, flora dan cetakan abstrak kontemporari yang digabungkan dengan pilihan material berkualiti tinggi serta teknik cetakan yang pelbagai.

Antara warna tumpuan tahun ini termasuk Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green, yang disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik Ariani.

Pertunjukan itu turut disaksikan lebih 1,000 tetamu jemputan terdiri daripada pelanggan setia, rakan media, selebriti dan pempengaruh tempatan.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan mencemar duli merasmikan majlis pelancaran koleksi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani berkata, Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar tradisi tahunan.

“Aidilfitri adalah masa untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang. Persalinan baju raya bukan sekadar pakaian tetapi lambang kegembiraan serta kenangan bermakna yang diraikan bersama keluarga,” katanya kepada Muslimah.

Bagi koleksi hijab, Ariani tampil dengan lebih 400 variasi merangkumi bawal satin dan twill bercorak, bawal voile, selendang dalam material cotton, satin dan chiffon, selain selendang serta bawal polos yang dihiasi perincian berlian dan sulaman. 

epelbagaian itu memberi kebebasan kepada wanita untuk berekspresi mengikut gaya dan personaliti masing-masing.

Turut menjadi tumpuan ialah koleksi Ariani Luxe yang menampilkan keanggunan eksklusif menerusi lebih 100 rekaan premium, dihiasi perincian French lace dan sentuhan kristal Swarovski. 

Setiap helaian dihasilkan dengan ketelitian artisan menggunakan material berkualiti tinggi, menjadikannya antara koleksi paling menonjol bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Tirai pertunjukan dibuka oleh pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein, selaku Muse Ariani Luxe 2026 yang tampil memukau memperagakan tudung eksklusif berkenaan.

Penampilannya menyerlahkan gabungan keanggunan dan personaliti tersendiri yang seiring dengan DNA koleksi tersebut.

Daripada segi duta dan wajah kempen, Ariani mengekalkan Lisa Surihani dan Bella Dally sebagai duta utama.

Barisan selebriti lain seperti Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal dan Ammar Azman turut memeriahkan pentas manakala Mira Filzah kembali menyerikan kempen raya Ariani tahun ini.

Kemuncak acara diserikan dengan kolaborasi antarabangsa tahun kedua antara Liberty London x Ariani, yang menyaksikan pengenalan 16 cetakan baharu eksklusif. 

Kolaborasi itu menggabungkan fabrik berkualiti tinggi dan corak bunga ikonik Liberty dengan potongan tradisional yang mengangkat keindahan warisan budaya Malaysia.

Tidak ketinggalan, koleksi pakaian lelaki Aryan turut dipersembahkan, menampilkan rekaan baju Melayu, kurta dan jubah untuk semua peringkat umur.

Tahun ini menyaksikan pelakon Bront Palarae diperkenalkan sebagai duta baharu, menambahkan tarikan maskulin kepada koleksi berkenaan.

Sebagai simbol pertumbuhan berterusan, Ariani turut membuka cawangan baharu di KLGCC, sekali gus memperkukuh pengalaman membeli-belah yang lebih eksklusif kepada pelanggan.

Dengan penawaran lebih 600 rekaan RTW, penggunaan pelbagai material premium serta komitmen terhadap inklusiviti dan kualiti, Ariani terus membuktikan keupayaan jenama tempatan dalam mendefinisikan semula fesyen Aidilfitri yang anggun, moden dan penuh makna.-Muslimah