Tips wajah kekal berseri pada usia 40-an

Rutin penjagaan kulit yang betul membolehkan wajah tampil sihat, anjal dan berseri walaupun dalam fasa usia matang.

Menurut pakar kecantikan dan kesihatan, Dr. Nurul A’in Sa’ari, perubahan kulit wanita dalam lingkungan usia 40 hingga 50-an memerlukan pendekatan penjagaan yang lebih khusus dan terarah.

Katanya, pemilihan kandungan produk anti-penuaan yang tepat memastikan kulit wajah kekal sihat dan terpelihara.

“Penggunaan retinoid dapat membantu merangsang pengeluaran kolagen, mengurangkan kedutan dan memperbaiki tekstur kulit.

“Pengamalan produk yang mempunyai asid hyaluronik pula mampu mengekalkan kelembapan dan menjadikan kulit lebih anjal,” katanya.

Tambahnya, apabila wanita menjangkau usia 40-an, penghasilan kolagen dan elastin, terutamanya di bahagian wajah semakin berkurangan.

Justeru, penggunaan peptida berfungsi membantu penghasilan kolagen yang mencukupi bagi mengekalkan ketegangan kulit.

“Pemakaian produk antioksidan seperti vitamin C, vitamin E dan niacinamide melindungi kulit daripada radikal bebas serta membantu mencerahkan kulit.

“Tidak ketinggalan, penggunaan pelindung matahari dengan faktor perlindungan matahari (SPF) juga penting bagi mencegah penuaan pramatang akibat sinaran ultraviolet (UV),” katanya.

Solekan ringan buat wajah tampak segar

Wanita dalam lingkungan usia ini disarankan untuk memilih solekan yang lebih ringan berikutan perubahan tekstur kulit.

Kulit yang semakin kering dan kurang anjal menyebabkan solekan tebal lebih mudah menyerlahkan garis halus.

“Penampilan yang lebih segar dan natural dapat dicapai dengan mengurangkan penggunaan solekan tebal di samping memberi fokus kepada penjagaan kulit,” katanya.

Selain itu, masalah pori yang semakin membesar juga boleh menyebabkan liang tersumbat sekiranya solekan digunakan secara berlebihan.

Urutan wajah

Urutan membantu meningkatkan peredaran darah ke kulit sekali gus membekalkan lebih banyak nutrien dan oksigen.

“Urutan pada wajah membantu merangsang penghasilan kolagen bagi mengekalkan keanjalan kulit serta melegakan ketegangan otot wajah, sekali gus mengurangkan garis-garis halus dan kedutan,” katanya.

Produk penjagaan juga dapat menyerap dengan lebih berkesan ke dalam lapisan kulit dengan melakukan urutan wajah secara berkala,

Cantik luar dalam

Kecantikan dalaman juga memainkan peranan penting mengekalkan keremajaan kulit. Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral perlu diberi keutamaan, manakala pengambilan gula serta makanan diproses perlu dikurangkan.

Hidrasi yang mencukupi amat penting bagi mengelakkan kulit kering yang boleh menyebabkan kedutan kelihatan lebih ketara.

Tidur yang berkualiti pula membantu proses pemulihan dan pertumbuhan sel kulit baharu.