Semakin ramai wanita berani bereksperimen dengan gaya tudung mengikut cita rasa masing-masing.
Jika dahulu bawal jadi pilihan utama, kini #TeamShawl menguasai halaman ‘For You Page’ (FYP) dengan gaya moden dan versatil.
Daripada selendang beralun yang lembut hingga hoodie shawl berinspirasikan gaya jalanan, semuanya menyerlahkan gaya hijabi moden yang sopan, yakin dan anggun.
1. Beralun depan, ikat belakang
Antara gaya paling banyak muncul di FYP adalah gaya ikat belakang.
Gaya ini sesuai dipadankan dengan selendang sifon atau satin dibentangkan longgar di bahagian depan sebelum diikat kemas di belakang kepala. Hasilnya, penampilan yang tampak bersahaja, feminin dan manis tanpa terlalu formal.
Gaya ini juga boleh dipakai tanpa pin atau jarum peniti, hanya selempangkan kedua-dua hujung selendang dan ikat ke belakang untuk hasil awning yang beralun dan longgar di depan. Ramai pempengaruh kini menjadikan gaya ini sebagai pemakaian harian dan menarik dipadankan dengan gaun berona pastel atau blaus berlengan kembang yang lembut.
2. Drip sebelah sisi bahu
Nampak sederhana, namun gaya ini mempunyai aura seperti watak utama. Satu sisi selendang dibiarkan jatuh panjang ke depan, manakala satu lagi disilangkan ke belakang bahu dan dipinkan dengan kemas.
Ramai hijabi memilih fabrik kapas atau ‘modal’ kerana kainnya lembut, terletak elok dan tidak mudah terlepas. Ia memberi sentuhan anggun tanpa perlu menggunakan banyak pin, selain membantu wajah tampak ilusi lebih panjang dan anggun untuk yang sukakan gaya ringkas tetapi tetap elegan.
3. Selendang kemas, rapi di leher
Bagi yang sukakan penampilan bersih dan profesional, gaya ini memang pilihan tepat. Selendang dililit kemas di bawah dagu dan diatur rapi di bahagian leher beserta lebihan kain yang beralun menutupi dada.
Gaya ini trending dalam kalangan pelajar universiti dan wanita bekerja kerana mudah digayakan serta kekal rapi sepanjang hari. Penggunaan fabrik matte seperti sifon tebal membantu selendang kekal terletak. Ia mencerminkan personaliti yang kemas, yakin dan sopan sesuai untuk mesyuarat, temu duga mahupun majlis rasmi.
4. Selendang Rania labuh depan belakang
Gaya yang diinspirasikan daripada pengguna TikTok @puteriraniaa ini menjadi fenomena dengan tanda pagar #labuhdepanbelakang yang mencecah jutaan tontonan.
Selendang dibiarkan labuh sama panjang di depan dan belakang, memberi kesan beralun dan anggun namun tetap sopan. Ia digemari oleh wanita yang mahu tampil Muslimah chic lembut, moden dan tidak terlalu sarat. Penampilan ini lebih menyerlah apabila digayakan bersama jubah satin atau skirt labuh beralun.
Secara keseluruhan, trend hijabis memperlihatkan perubahan gaya yang semakin berani, kreatif dan ekspresif.
Wanita kini tidak lagi terikat dengan satu cara pemakaian tudung, sebaliknya menjadikan selendang sebagai medium menonjolkan keperibadian dan cita rasa masing-masing.
Pengaruh media sosial yang terus berkembang menjadikan gaya tudung bukan sekadar pelengkap penampilan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada identiti dan keyakinan diri wanita moden.-Muslimah