Ramai menyangka perut buncit atau lemak berlebihan berpunca daripada tabiat makan yang tidak terkawal.
Namun, stres juga boleh menjadi punca utama pengumpulan lemak dalam badan, khususnya di bahagian perut.
Pakar Estetik dan Obesiti, Dr. Mohamed Syamim Mazelan berkata, stres bukan sekadar gangguan emosi tetapi mencetuskan satu reaksi biokimia dalam tubuh.
“Apabila seseorang mengalami stres, otak akan mengaktifkan ‘sistem kecemasan’ iaitu HPA axis (Hypothalamic-Pituitary-Adrenal axis). Sistem ini akan merangsang kelenjar adrenal untuk menghasilkan hormon utama stres iaitu hormon kortisol,” katanya.
Tambahnya, hormon kortisol merangsang tubuh menyimpan lebih banyak lemak, memperlahankan metabolisme serta meningkatkan keinginan terhadap makanan manis dan berlemak.
Peningkatan hormon kortisol dalam jangka masa panjang juga boleh menyebabkan pengumpulan lemak jenis viseral, iaitu lemak yang menyelebungi organ seperti hati, pankreas dan usus.
Lemak viseral jauh lebih bahaya berbanding lemak bawah kulit.
Ia boleh menjejaskan fungsi organ serta meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol selain penuaan sel lebih cepat.
Justeru, lemak di perut adalah ‘racun’ dalam tubuh. Ia melepaskan bahan radang yang perlahan-lahan merosakkan tisu dan organ.
Faktor genetik
Selain makanan, masalah lemak di bahagian perut turut dipengaruhi oleh faktor genetik, hormon dan gaya hidup.
Individu yang hidup dalam keadaan stres berpanjangan lebih cenderung mengalami rintangan insulin, iaitu keadaan apabila tubuh tidak lagi menggunakan gula dengan baik.
Perkara ini menyebabkan gula berlebihan dalam darah ditukar kepada lemak dan disimpan di kawasan perut.
Tabiat tidur lewat dan pengambilan kopi secara berlebihan juga boleh mengaktifkan hormon stres.
Malah, diet yang terlalu ketat turut memberi kesan negatif.
“Apabila diet terlalu ketat, badan menganggap kita dalam keadaan kebuluran. Paras kortisol meningkat, metabolisme menurun dan tubuh mula menyimpan lemak sebagai tenaga simpanan,” katanya.
Lemak di bahagian perut sukar dibakar kerana bersifat aktif secara biologi.
Ia menghasilkan bahan kimia seperti cytokine dan adipokine yang menyukarkan proses pembakaran lemak.
Rawatan dan pencegahan
Pemakanan sihat, tidur mencukupi dan pengurusan stres yang baik membantu mengatasi perut buncit.
Senaman juga memainkan peranan penting, namun ia bukanlah satu-satunya penyelesaian.
“Tiada senaman yang membakar lemak di perut semata-mata. Tetapi gabungan kardio, senaman kekuatan dan yoga boleh bantu mengurangkan lemak viseral serta menurunkan paras kortisol,” katanya.
Hasil perubahan boleh dilihat selepas lapan hingga 12 minggu jika dilakukan secara konsisten tiga hingga lima kali seminggu.
Bagaimanapun, pemakanan dan tidur tetap menjadi faktor utama menurunkan luntuk menghilangkan emak perut.
Tambahnya, rawatan moden di klinik estetik juga kini semakin selamat dan berkesan jika dilakukan oleh doktor bertauliah serta menggunakan produk berdaftar dengan KKM.
Antara rawatan yang ditawarkan termasuk Cryolipolysis (pembekuan lemak), Electrical Muscle
Stimulation (EMS), Laser Lipolysis, dan Mesolipolysis.
Namun, rawatan ini bukanlah pengganti kepada gaya hidup sihat.
Bagi mereka yang sibuk, amalkan tabiat kecil yang memberi impak besar seperti berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari, makan pada waktu tetap, dan memastikan tidur berkualiti enam hingga lapan jam setiap malam.
“Badan kita bijak. Bila stres, ia fikir kita dalam bahaya, lalu simpan tenaga dalam bentuk lemak. Jadi,untuk kurangkan lemak perut, tenangkan minda dahulu,” katanya.-Muslimah