Pernahkah anda berdiri di depan cermin dan rasa ragu-ragu sama ada ingin menyarungkan kemeja berwarna biru laut atau merah menyala?
Percaya atau tidak, pilihan rona yang anda gayakan sebenarnya bukan sekadar soal selera tetapi ia adalah cerminan emosi dan personaliti yang ingin anda sampaikan kepada dunia.
Dalam dunia psikologi, fenomena ini dikenali sebagai dopamine dressing iaitu suatu keadaan di mana pakaian yang kita pakai mampu mempengaruhi tahap hormon kegembiraan dalam otak.
Setiap warna mempunyai ‘bahasa’ tersendiri. Memahami maksud di sebalik warna-warna ini bukan sahaja membantu anda tampil lebih yakin malah mampu mempengaruhi persepsi orang sekeliling.
Merah: lambang dominasi dan keberanian
Warna merah sering dikaitkan dengan tenaga, kuasa dan keghairahan. Jika anda mempunyai pembentangan penting atau ingin menonjolkan autoriti, merah adalah pilihan tepat. Ia secara tidak langsung meningkatkan kadar degupan jantung dan membuatkan si pemakai kelihatan lebih agresif namun berkarisma.
Biru: aura ketenangan dan kepercayaan
Sebab itulah kebanyakan pakaian seragam korporat menggunakan warna biru. Ia melambangkan kestabilan, kecerdasan dan rasa aman. Individu yang gemar berbaju biru sering dilihat sebagai seorang yang setia, tenang dan boleh diharapkan.
Kuning: suntikan kegembiraan
Kuning adalah warna cahaya matahari. Ia merangsang kreativiti dan memberikan aura optimis. Jika berasa sedikit lesu, cubalah sarungkan aksesori atau helaian berwarna kuning. Ia bukan sahaja dapat menceriakan hari malah orang yang memandang juga akan berasa lebih senang.
Hitam: keanggunan yang misteri
Hitam adalah rona selamat yang tidak pernah luput dek zaman. Selain memberikan kesan langsing, hitam melambangkan kematangan, sofistikasi dan perlindungan. Ia adalah simbol kekuatan yang tersembunyi.
Gunakan palet warna sebagai senjata rahsia untuk menakluk hari dengan penuh keyakinan.-Muslimah