Cubaan lari dari keganasan rumah tangga berakhir tragis, wanita muda maut di tangan suami

Cubaan seorang wanita muda untuk melarikan diri daripada keganasan rumah tangga berakhir dengan tragedi apabila dia maut dipukul dan dianiaya oleh suaminya sendiri.

Mangsa, Ananda Isnaini Putri, 20, meninggal dunia selepas dianiaya suaminya, MA, 29, dalam kejadian di sebuah rumah di Kisaran Barat, Sumatra Utara, 1 Februari lalu.

Menurut polis, kejadian berlaku selepas mangsa pulang ke rumah ibu bapanya di Tanjungbalai, dipercayai bagi melarikan diri daripada tekanan dan keganasan rumah tangga. Namun, tindakan tersebut mencetuskan kemarahan suami yang tidak dapat menerima keputusan isterinya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan, AKP Immanuel Simamora berkata, suspek menjemput mangsa bersama anak mereka sebelum berlaku pertengkaran sebaik tiba di rumah sekitar jam 6.30 petang.

“Suspek berang kerana mangsa pulang ke rumah ibu bapanya tanpa izin. Dia kemudian memukul perut mangsa berkali-kali dan menendang dada mangsa sebanyak empat kali,” katanya seperti dilaporkan CNN INDONESIA.

Kekejaman tidak terhenti di situ. Suspek turut menyeret mangsa ke bilik mandi dan bertindak membenamkan kepala serta seluruh tubuh mangsa ke dalam tab mandi, dipercayai cuba melemaskan isterinya sendiri.

Walaupun mangsa berjaya keluar dari bilik mandi dalam keadaan lemah, suspek sekali lagi menendang rusuk kanan mangsa.

“Apabila mangsa kelihatan sesak nafas dan tercungap-cungap, suspek sempat memberi bantuan pernafasan dan menggendong mangsa sehingga mangsa muntah,” jelas Immanuel.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Kisaran menaiki motosikal, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Lebih memilukan, suspek cuba menutup jenayahnya dengan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat terjatuh dari motosikal. Namun, pihak polis mengesan kesan kecederaan lebam dan luka yang mencurigakan pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk proses bedah siasat. Hasil siasatan akhirnya memaksa suspek mengaku semua perbuatannya.

Kes ini dilaporkan kepada polis pada 2 Februari lalu, sebelum suspek ditahan secara rasmi.

MA kini didakwa berkaitan kesalahan pembunuhan atau penganiayaan sehingga menyebabkan kematian.

Kes ini mendapat liputan meluas kerana membuka mata masyarakat tentang realiti pahit keganasan rumah tangga yang sering dialami wanita, khususnya golongan muda.

Cubaan mangsa untuk mencari perlindungan dengan pulang ke rumah orang tua tidak mampu menyelamatkan nyawanya.

Tragedi ini menjadi peringatan bahawa keganasan dalam rumah tangga bukan isu peribadi, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan campur tangan awal, sokongan keluarga dan perlindungan undang-undang agar lebih ramai wanita tidak menjadi mangsa seterusnya.